PUTRAJAYA – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 3.0 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding penguncupan 6.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi KDNK ini mengambil kira penguncupan 4.5 peratus tahun-ke-tahun (YoY) pada suku ketiga 2021 (S3 2021) yang menggambarkan cabaran dihadapi berikutan langkah pembendungan ketat untuk mengekang lonjakan kes baharu disebabkan kemunculan varian Covid-19 yang membimbangkan (VOC) dan lebih berbahaya.
“Dari segi prestasi KDNK bulanan, penguncupan semakin mengecil kepada 1.1 peratus pada September berbanding 7.6 peratus pada Julai dan 4.7 peratus bagi Ogos 2021, mencerminkan peningkatan dalam aktiviti ekonomi dan sosial susulan momentum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang meningkat, seterusnya membolehkan lebih banyak negeri beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.
“Meskipun berdepan cabaran sepanjang suku ketiga tahun ini, pelbagai indikator ekonomi utama menunjukkan momentum pemulihan yang kukuh terutamanya apabila negara memasuki suku keempat 2021 (S4 2021) dan menuju ke tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, ini termasuk penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.5 peratus pada September serta lonjakan 24.7 peratus dalam eksport dan peningkatan 11.6 peratus dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan yang sama.
“Malah, kita menyaksikan peningkatan pada kedua-dua indeks keyakinan perniagaan dan pengguna yang dipantau oleh MIER serta RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada S3 2021, menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM30 bilion,” katanya. – K! ONLINE