Oleh LIYANA RAMLI
IPOH – Walaupun cacat penglihatan, namun kehidupan harian Chan Kwai Kee, 68, selama ini sentiasa terjaga kerana semuanya diuruskan oleh isterinya yang umpama mata bagi lelaki itu.
Bagaimanapun, kini semuanya kelam apabila isterinya itu, Poon Kam Lin, 64, pula terlantar sakit menyebabkan dia terpaksa menguruskan dirinya sendiri.
Tahap kesihatan Kam Lin yang menghidap penyakit kencing manis, kolesterol tinggi dan darah tinggi sejak belasan tahun lalu kini amat merosot.
Lebih mendukacitakan Kwai Lee apabila dia sendiri tidak mampu untuk menjaga isterinya disebabkan masalah penglihatan yang dialami sejak lahir.
Menurut Kwai Lee, sepanjang 20 tahun berkahwin, dia dijaga dengan baik oleh isterinya yang mengambil berat semua perkara.
Pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata.
“Baru-baru ini, isteri saya secara tiba-tiba jatuh sakit akibat pelbagai penyakit yang dihidapinya sebelum ini.
“Saya sedih dan kecewa kerana tidak mampu menjaganya. Mata kanan saya pun sudah rosak dan hanya nampak bayang-bayang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Hiburan, Ulu Kinta dekat sini baru-baru ini.
Menceritakan keadaan isterinya itu, Kwai Kee berkata, tahap kesihatan isterinya semakin berkurangan apabila dia mula lupa banyak perkara termasuk nombor pin kad pengeluaran wang automatik (ATM).
“Sebelum ini, ingatan isteri saya sangat kuat.
“Tetapi sekarang, saya terpaksa meminta bantuan mana-mana pihak seperti rumah kebajikan atau orang tua-tua sebab saya tidak mampu menjaga isteri yang sakit,” kata Kwai Kee.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin membantu pasangan warga emas tersebut boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak yang mewakili keluarga itu menerusi talian 012-532 1128. -K! ONLINE