fbpx

Tiada lagi peluang kedua, Nabila Razali ‘Putus’ cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA melancarkan video promosi lagu Putus malam ini sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-29 esok.

PETALING JAYA – Pernah melalui perpisahan yang memeritkan, penyanyi Nabila Razali meluahkan pengalaman cinta menerusi single Putus yang juga merupakan kesinambungan lagu Peluang Kedua.

Penyanyi itu berkata, selepas lapan tahun mengemudi kerjaya seni, buat julung kali dia berkolaborasi bersama komposer Singapura, Erwin Purnama dalam menzahirkan suara hati.

“Boleh dikatakan lagu Putus menjadi kesinambungan Peluang Kedua kerana tiada lagi peluang ketiga, jadi dengan jalan terbaik adalah perpisahan.

“Kronologi garapan Putus tentu saja bersandarkan kisah cinta yang pernah saya lalui malah rasanya dekat dengan pendengar memandangkan hampir semua orang melalui kesakitan akibat putus cinta.

“Segala rasa dan kesakitan saya kongsikan menerusi karya gabungan saya bersama Erwin Purnama. Susah pasti Putus terlalu bersifat peribadi buat saya kerana ditulis sendiri,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd. Razali itu akan melancarkan video promo rasmi Putus pada malam ini sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-29 esok.

Tambahnya, single tersebut menjadi hadiah teristimewa buat peminat yang tetap setia memberi sokongan saat jatuh dan bangunnya dalam kerjaya seni.

“Saya pilih tarikh pelancaran sempena hari jadi kerana mahu Putus menjadi kenangan manis dan terindah pada hari bersejarah ini.

“Lagu ini juga sebagai hadiah kepada peminat yang tak pernah berhenti menghulurkan sokongan walaupun ketika saya berada di bawah,” katanya yang mesra disapa Bella.

Putus mengisahkan percintaan seorang wanita yang berakhir dengan perpisahan tanpa rela dan terpaksa meneruskan hidup bersama memori lampau.

Kehilangan insan tercinta membuatkan si wanita itu menjalani kehidupan seadanya sehingga terlupa untuk menyayangi diri sendiri.

Selepas setahun tanpa buah tangan terbaharu, penyanyi yang juga pelakon itu menganggap penerbitan lagu berkenaan sebagai penyemarak semangat.

“Alhamdulillah, selepas Peluang Kedua yang sudah lebih setahun memancing perhatian ramai kini saya kembali dengan menghadiahkan Putus buat peminat.

“Karya kolaborasi pertama saya sepanjang lapan tahun dalam industri seni ini sangat bermakna malah bersyukur dapat berkerjasama dan diberi tunjuk ajar oleh komposer Erwin Purnama,” tambahnya lagi.

Single tersebut juga merupakan lagu kedua terbitan syarikatnya sendiri, Nabila Razali Entertainment dan diedarkan bawah label Universal Music Malaysia.

Lagu Putus boleh didengari dalam semua platform digital bermula 19 November ini.

Sebelum ini, lagu Peluang Kedua ciptaan Hael Husaini dan MFMF mencatat kejayaan dengan meraih Anugerah Platinum Berkembar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI