fbpx

Jangan jaja aib sendiri dalam media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SABAN hari pasti ada sahaja cerita tular yang menjadi bualan netizen dalam media sosial.

Daripada cerita sekecil kuman sehingga kisah tentang ‘dalam kain’ sudah semakin berani dikongsi pengguna media sosial kepada umum.

Hanya kerana dahagakan po­pulariti dalam masa singkat, ramai yang sanggup membuka aib sendiri di media sosial. Kadang-kala penulis tertanya, ke mana perginya rasa malu dalam kala­ngan masyarakat hari ini?

Sejak akhir-akhir ini, sudah ramai yang semakin berani menjaja kisah rumah tangga seperti suami curang dan cerai di aplikasi TikTok.

Setiap hari ada sahaja individu khususnya kaum wanita memuat naik video dengan berkongsi perasaan sedih kerana dicurangi atau diceraikan pasangan.

Walaupun niat mereka mungkin untuk tujuan kesedaran tetapi hakikatnya tindakan itu lebih kepada membuka aib sendiri.

Lebih ekstrem, Kosmo! pada 26 Jun lalu pernah melaporkan isteri membuka aib suami dalam media sosial kena cerai. Laporan itu jelas menunjukkan tindakan membuka pekung sendiri terbukti memberi impak negatif dalam hubungan suami isteri.

Meneliti komen orang ramai ada yang memberi sokongan moral, namun tidak kurang yang mengecam.

Setahu penulis, kisah sebegitu sebelum ini begitu privasi untuk dikongsi kepada umum. Zaman berubah, semua perkara boleh menjadi kandungan media sosial untuk mengejar tanda suka.

Tanpa sedar, perkongsian tanpa had mengenai kehidupan sendiri mampu menjemput banyak hal negatif berban­ding positif. Sebaik-baiknya usah menggalakkan media sosial menjadi pembunuh senyap hubungan yang terjalin sesama manusia.

Memetik kenyataan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Fawwaz Fadzil, cerita peribadi tidak sepatutnya disebar dalam ruang yang boleh diakses oleh orang ramai sehingga boleh membuka aib sendiri.

“Kepada netizen khususnya wanita, jangan terlalu terbuka menceritakan masalah dalam media sosial.

“Mengadu kepada Tuhan dan individu terdekat. Dalam tidak sedar, individu yang banyak menceritakan masalah kepada umum akan dipandang rendah oleh masyarakat,” katanya.

Ujar beliau, perkongsian dalam media sosial sepatutnya mempunyai had dan pengguna juga perlu sedar bahawa maruah boleh gugur sekiranya hal tersebut dilakukan berterusan.

“Golongan wanita suka diraikan tetapi tanpa sedar ia boleh menjatuhkan maruah dan membuka aibnya atau orang lain.

“Hidup kita perlulah ada nilai dan setiap perkara yang dikongsi perlu mempunyai matlamat yang jelas,” tuturnya lagi.

Sementara itu, bagi aktres Luf­ya, beliau mengakui bahawa terdapat segelintir golongan wanita yang lebih beremosi sekiranya dilanda masalah rumah tangga dan media sosial pastinya menjadi medan untuk mereka meluahkan segala yang terbuku di hati.

“Apabila sudah meluahkan segala-galanya, mungkin secara sedar atau tak mereka telah mengaibkan ahli keluarga dan diri sendiri.

“Saya dapat lihat dengan jelas situasi yang berlaku sekarang ini apabila ada yang berasa tidak puas hati, semuanya pasti diluahkan di dalam media sosial. Apa sahaja yang berlaku di sekeliling, mereka akan kongsi dan beritahu kepada orang ramai,” katanya.

Justeru, Lufya berpesan kepada kaum wanita agar me­ngawal diri daripada terus berkongsi hal peribadi kepada umum bagi mengelakkan fitnah dan kesan buruk kepada diri sendiri. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI