MELAKA – Dalang penyeludupan sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai bernilai hampir RM1 juta berjaya dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sinn Semabok, di sini, semalam.
Suspek berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras bersama Cawangan Risik Batalion 6 PGA pada pukul 9.30 pagi di rumah teres berkenaan.
Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, hasil pemeriksaan di premis tersebut pasukannya menjumpai sebanyak 2,097 karton rokok dan 483 kotak arak pelbagai jenama bernilai RM963,684.21.
“Dalam serbuan itu, kita telah menahan seorang lelaki dipercayai dalang sindiket penyeludupan rokok dan arak tidak bercukai dengan penemuan bekalan bernilai hampir RM1 juta di premis berkenaan.
“Kita percaya dengan penahanan suspek, kita juga berjaya melumpuhkan satu sindiket yang menjadikan rumah-rumah di taman perumahan sebagai stor simpanan,” katanya dalam satu sidang media di Balai Polis Banda Hilir, di sini hari ini.
Tambahnya, turut dirampas sebuah kereta jenis Hyundai yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mengakui telah menjaga kesemua bekalan di rumah tersebut yang disewa sejak lebih sebulan lalu.
“Kesemua barangan itu dipercayai dipasarkan ke kedai runcit di seluruh negeri ini dan rumah kongsi pekerja warga asing pada harga yang murah.
“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan terhadap kemungkinan ianya diseludup melalui jalan darat dan laut dari negara jiran,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE