SEORANG wanita warga emas di Gurun, Kedah meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati pada Rabu lalu. Mangsa dikelar di leher, pelakunya pula anak kandung wanita tersebut.
Jika berlaku kejadian menyedihkan seperti ini dua perkara pertama yang berada dalam benak wartawan selalunya ‘suspek berada di bawah pengaruh dadah’ atau ‘suspek mempunyai penyakit mental’.
Ini kerana kelakuan sebegini iaitu tindakan ‘nekad’ mencabut nyawa ahli keluarga sendiri adalah luar daripada sifat kemanusiaan.
Seperti kejadian di Lipis, Pahang pada Oktober lalu apabila seorang anak tergamak menamatkan riwayat ibu bapanya dengan menikam dan mengelar syurganya. Suspek yang telah dituduh di mahkamah juga positif methamphetamine semasa ditahan.
Boleh dikatakan setiap bulan kejadian seumpama ini berlaku dalam negara. Betapa buruknya kesan akibat pengambilan dadah.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain dipetik berkata, tragedi tersebut menunjukkan betapa seriusnya isu dadah di negara ini.
Data yang dikongsikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan fenomena penagihan berulang atau relapse paling ramai melibatkan golongan belia.
Pengguna dadah termuda yang pernah direkodkan AADK merupakan kanak-kanak yang berusia tujuh tahun.
Selepas disabitkan kesalahan penggunaan dadah, golongan ini akan diarahkan oleh mahkamah menjalani rawatan dan pemulihan di AADK daerah.
Mereka atau dikenali Orang Kena Pengawasan (OKP) perlu melapor diri pada setiap bulan sepanjang tempoh minimum dua tahun atau maksimum tiga tahun.
Selalunya sepanjang tempoh pengawasan itu mereka bersih daripada najis dadah. Selepas tamat pengawasan mereka kembali kepada tabiat lama.
Ini dilema yang dihadapi baik pihak berkuasa mahupun ahli keluarga sendiri. Pengaruh rakan-rakan menjadi faktor utama penagihan berulang.
Penulis percaya peruntukan undang-undang dalam menangani isu penagihan ini sudah mencukupi.
Namun, sebagai anggota masyarakat untuk mengubah faktor dalaman penagih sendiri merupakan tugas yang sukar. Kurang keyakinan terhadap kemampuan diri untuk berubah lebih baik.
Masyarakat sendiri buntu atau tidak diberi apa-apa panduan untuk menangani emosi golongan tersebut.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan darah daging sendiri, jika serah kepada undang-undang bimbang masa depan mereka akan terumbang-ambing.
Penagih sekiranya disabitkan berulang kali boleh dikenakan hukuman penjara atau sebatan.
Selepas ‘keluar’ nanti mereka yang diasingkan daripada masyarakat dalam tempoh tertentu sukar untuk bangkit kembali dan akhirnya terjerumus kembali kepada najis dadah.
Lebih menyedihkan apabila melibatkan tragedi seperti di atas. Ibarat buah kepayang ditelan pahit, dibuang sayang. -K! ONLINE