fbpx

Kematian pelajar Nigeria di DIBJ atas sebab semula jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan Kematian seorang pelajar warga Nigeria, Thomas Orhions Ewansiha, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) pada Julai dua tahun lalu adalah atas sebab semula jadi (natural causes).

Koroner Mahyon Talib memutuskan demikian selepas mendengar inkues kes itu yang telah dijalankan sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Koroner itu berkata berdasarkan keterangan saksi, Thomas meninggal dunia akibat serangan jantung selain tiada keterangan yang jelas bahawa kematiannya berpunca daripada pengabaian atau unsur jenayah

“Menurut salah seorang saksi inkues, sekiranya si mati diberi rawatan segera berkemungkinan kematiannya dapat dielakkan. Namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak depoh Jabatan Imigresen juga telah berusaha untuk menyelamatkan si mati dengan cara menghubungi pihak hospital dengan segera dan memberikan bantuan pernafasan CPR terhadapnya,” katanya.

Tambah Mahyon, berdasarkan keterangan paramedik terdapat usaha untuk menyelamatkan si mati dan ia juga diceritakan secara terperinci oleh rakan sel si mati dan seorang lagi tahanan yang ditempatkan di sel bertentangan, mengenai perkara itu.

“Secara keseluruhannya, tindakan (untuk menyelamatkan si mati) telah diambil namun nasib tidak menyebelahi si mati,” katanya.

Ketika kejadian si mati berusia 33 tahun sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah di sebuah universiti swasta dan meninggalkan seorang isteri dan dua anak kecil.

Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili keluarga Thomas ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata pihaknya akan memfailkan rayuan dan memulakan saman sivil terhadap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas sebab kecuaian.

“Thomas diberi ubat preskripsi dan rawatan perubatan oleh individu yang tidak berkelayakan. Kami percaya inilah sebabnya dia mengalami serangan jantung.

“Kami bersetuju dengan mahkamah bahawa beliau telah meninggal dunia atas sebab semula jadi, tetapi kerana tidak diberikan rawatan perubatan yang sewajarnya, secara tidak langsung menyebabkan kematiannya,” kata peguam itu.

Sebelum ini, media melaporkan, Thomas adalah antara 20 warga asing yang ditahan dalam satu Ops Bersepadu pada 4 Julai 2019 di kawasan Desa Aman Puri, Kuala Lumpur berikutan aduan awam berkaitan kebanjiran warga Afrika di kawasan itu.

Bagaimanapun, Thomas meninggal dunia pada 9 Julai 2019 ketika berada dalam tahanan Jabatan Imigresen, disyaki terkena serangan sawan ketika sedang tidur. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI