BERITA gembira buat penggemar penyanyi popular Ed Sheeran apabila platform penstriman Joox membawakan siaran langsung konsert eksklusif untuk pengguna VIP berbayar di Malaysia, Hong Kong, Macau, Indonesia, Thailand dan Myanmar.
Penganjuran konsert penyanyi dan juga penulis lagu itu turut menyaksikan dia akan mempromosikan album baharu berjudul “=”.
Konsert secara maya yang akan bersiaran pada Sabtu ini pukul 8 malam waktu Malaysia akan menampilkan persembahan single hit terbaharunya seperti Bad Habits, Shivers, Overpass Graffiti dan Visiting Hours.
“=” merupakan album studio keempatnya untuk meneruskan rentetan kejayaan Ed Sheeran menguasai carta muzik dunia sekali gus mengukuhkan lagi namanya.
Menurut Ketua Joox Malaysia, Angie Tan, konsert tersebut membolehkan peminat merasai sendiri kekuatan dan keunikan muzik pop penyanyi itu selepas dia kembali beraksi pasca pandemik Covid-19.
“Joox akan sentiasa membawakan siaran langsung bertaraf dunia seperti konsert dalam talian eksklusif oleh Ed Sheeran yang merupakan salah satu artis terbesar di dunia.
“Konsert ini bukan sahaja pasti akan memukau semua peminatnya di Asia tetapi juga bagi meraikan penambahan album baharunya dalam senarai lagu pengguna Joox yang sentiasa berkembang,” ujarnya.
Sementara itu menurut Ed Sheeran, dia menyifatkan album “=” sangat bermakna dan peribadi buat dirinya.
“Saya menganggapnya sebagai album yang semakin dewasa. Saya juga tidak sabar untuk berkongsi dan mempersembahkan lagu-lagu daripada album baharu ini kepada peminat muzik Asia melalui Joox,” katanya. – K! ONLINE