PUTRAJAYA – Ekonomi negara menguncup 4.5 peratus bagi suku ketiga tahun ini dipengaruhi kemerosotan dalam semua sektor utama ekonomi, terutama sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dari sudut permintaan, semua komponen perbelanjaan mencatatkan prestasi negatif kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan.
Beliau berkata, bagi prestasi mengikut sektor pula, perkhidmatan yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia menyusut 4.9 peratus pada suku tahun ketiga 2021 berbanding pertumbuhan positif 13.5 peratus pada suku tahun sebelumnya.
“Prestasi ekonomi bulanan negara juga semakin pulih daripada kejatuhan 7.6 peratus pada Julai kepada penyusutan 4.7 peratus pada Ogos dan terus bertambah baik kepada negatif 1.1 peratus pada September 2021.
“Menghampiri penghujung tahun, ekonomi Malaysia bertumbuh 3.0 peratus bagi tiga suku tahun 2021,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pihaknya menjangkakan pertumbuhan pengeluaran yang lebih baik seiring dengan peningkatan bahan mentah yang diimport dan pertumbuhan positif berterusan dalam pelaburan jentera dan peralatan yang membawa kepada perspektif lebih baik bagi potensi momentum ekonomi pada masa akan datang.
Mohd. Uzir menambah, harga komoditi yang lebih tinggi ditunjukkan dengan pertumbuhan positif 2.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa akan meningkatkan pendapatan per kapita dan menggalakkan penggunaan isi rumah.
Menurutnya, kelonggaran sekatan pergerakan akan merancakkan semula ekonomi termasuk industri berkaitan pelancongan dalam masa terdekat. – K! ONLINE