PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif mewujudkan sebuah jenama media milik KBS iaitu, MySukan TV yang berperanan menyokong sukan akar umbi untuk mencapai kelestarian.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, MySukan TV adalah sebuah jenama media yang berfungsi untuk menyokong lanskap sukan akar umbi di negara ini menerusi aktiviti promosi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.
Beliau berkata, pada masa sama ia akan membawakan juga siaran langsung perlawanan sukan untuk menarik pelaburan atau tajaan daripada syarikat-syarikat swasta.
“Sejak beberapa dekad lalu, kementerian telah melancarkan, menyokong dan mempromosikan sukan akar umbi serta pembangunannya seperti Skuad Projek MSN-FAM di Liga Premier, Liga Bola Sepak Universiti (Liga IPT), Kejohanan sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Menengah (MSSM), Liga Bolasepak Rakyat (LBR) dan banyak lagi.
“Pembangunan akar umbi adalah mahal dan kejayaan sesuatu program itu tidak bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan, jadi, kita memerlukan sektor swasta bukan sahaja sebagai pemberi dana malahan berkongsi sumber mereka dengan program ini.
“Usaha daripada sektor swasta ini akan membantu pembangunan masa depan atlet negara dan memberi sokongan dalam bentuk bantuan ekonomi memandangkan industri ini amat terkesan berikutan pandemic Covid-19,” katanya pada majlis MySukan TV secara atas talian hari ini.
Ahmad Faizal berkata, MySukan TV akan memberi tumpuan kepada sukan-sukan yang kurang popular sekali gus meningkatkan peluang untuk menjana pendapatan melalui pengiklanan dan penajaan.
Malaysia mempunyai populasi seramai 32.7 juta pada 2020 dan tinjauan mendapati 9.24 juta berumur dibawah 18 tahun. – K! ONLINE