fbpx

Duit simpanan haji lesap angkara ‘Sarjan Chong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK

KUANTAN – Malang bagi seorang seorang pesara wanita di sini apabila wang simpanan dan duit belanja untuk mengerjakan ibadah haji habis dilesapkan ‘Sarjan Chong’.

Pesara wanita berusia 66 tahun itu kerugian RM236,994 selepas mengikut syarat pelik yang diarahkan Sarjan Chong bagi menyelesaikan kes tidak dilakukannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa dihubungi suspek melalui panggilan telefon pada 23 Julai lalu.

“Mangsa dihubungi seorang lelaki yang memaklumkan terdapat bungkusan berisi kad pengenalan dan beberapa keping kad bank yang dihantar kepada mangsa.

“Wanita itu juga dikatakan terlibat kes pengubahan wang haram dan untuk membersihkan nama, mangsa mesti mengikut segala arahan diberikan,” katanya.

Mohd. Wazir menambah, perbualan telefon itu kemudian disambungkan pula kepada seorang lelaki menyamar polis menggunakan nama Sarjan Chong.

“Sarjan Chong mengarahkan mangsa meletakkan sampul surat mengandungi kad bank, buku akaun Tabung Haji, buku akaun Amanah Saham Bumiputra dan buku akaun bank di pondok telefon berdekatan Masjid Beserah di sini pada 3 Ogos lalu.

“Suspek memaklumkan, barang-barang tersebut diperlukan untuk membantu siasatan dan membersihkan nama mangsa daripada kes-kes jenayah,” katanya.

Ujar beliau lagi, mangsa menyedari tertipu ketika membuat semakan akaun di bank semalam dan mendapati RM236,994 telah lesap.

“Siasatan dengan pihak bank mendapati wang telah dipindahkan ke dalam akaun individu yang tidak diketahui pada 2 dan 10 Ogos lalu,” katanya.

Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Beserah di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI