fbpx

Kembali kepada nilai-nilai agama elak perbuatan buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KISAH kematian tragis bakal pegawai tentera Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2017 amat menjentik rasa insani masyarakat negara ini, lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh mereka yang akrab dengannya.

Ironinya, ia mencemari budaya tentera yang sinonim dengan semangat setia kawan, kesetiaan, kepatuhan dan sifat kepunyaan terhadap nilai sepunya yang dijunjung selama ini.

Apa nak jadi dengan neraca timbang tara dan akhlak muda mudi kita yang amat rakus dengan budaya rimba yang menjadi ikutan dalam menangani permasalahan kes buli seperti ini.

Di manakah bekalan agama dan adab sosial yang menjadi pegangan dalam kehidupan?

Adakah hiburan ganas dan kejam yang menjadi santapan hidangan minda muda mudi kita menyebabkan mereka semakin lali dengan perbuatan rimba yang tidak bertamadun seperti ini.

Marilah kita kembalikan semula kekuatan pegangan muda mudi kita kepada nilai-nilai penghayatan agama yang benar-benar menjaga dan memelihara kemuliaan insan.

Allah berfirman dalam Surah at-Tiin, ayat 4 bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Allah turut memuliakan manusia seperti firman-Nya dalam surah al-Isra’, ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami muliakan anak cucu Adam dan Kami membawa mereka ke daratan dan lautan dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang Kami cipta.”

Dengan elemen kemuliaan itu, manusia mestilah meletakkan nilai cakna keinsanan dalam diri masing masing seperti terpahat dalam sabda Rasululllah SAW: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Nabi SAW turut bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini.

“Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum selesai, maka diambil kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudian dia dicampak ke dalam neraka. (Hadis riwayat Muslim)

Kata Imam Nawawi dalam kitab Riyadh al-Solihin ketika menghuraikan hadis ini: “Sangat benarlah sabda Nabi SAW kerana sesungguhnya inilah sebenar-benar bankrap. Adapun seorang yang bankrap di dunia, maka dunia itu datang dan pergi.

Terfikirkah kita, Allah menjadikan Rasulullah SAW dengan sebaik-baik akhlak agar menjadi ikutan hamba-Nya yang taat kepada perintah-Nya dan saling menghormati sesama insan.

Kadangkala, pernahkah terlintas di fikiran, keseronokan perbuatan membuli orang lain sehingga menyebabkan kematian atau kecacatan yang boleh menimpa anak cucu kita sebagai mangsa buli pada masa hadapan.

Tidak kasihankah kita dengan nasib ayah dan ibu serta keluarga mangsa?

Mengertilah, ujian yang diberikan ini adalah untuk menguji keimanan insan yang akan kembali kepada Allah.

Jika dia beriman, akan menerimanya dengan reda dan padanya tersembunyi rahmat Allah.

Namun bagi manusia yang lalai serta tidak meredai ujian yang diberikan ke atasnya, dia mendapat kemurkaan Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala yang menimpa. Sesungguhnya Allah apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu, barangsiapa yang reda dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredaan Allah. Barangsiapa yang tidak, maka padanya kemurkaan Allah.“ (Hadis riwayat Tirmidzi)

Jelas juga, daripada hadis tersebut bahawa semakin besar dugaan yang dihadapi oleh seseorang, semakin besar ganjaran pahala yang akan dia peroleh.

Sepatutnya, bagi setiap mereka yang terlibat dalam perbuatan buli dan telah dijatuhkan hukuman dunia merasai segunung keinsafan.

Setiap tindakan dan amalan di dunia bersifat sementara ini akan dinilai oleh Allah daripada sekecil-kecil perbuatan hingga sebesar-besar perkara.

Semua perbuatan itu tidak terlepas daripada catatan dan perhitungan Malaikat Raqib dan Atid yang setia menemani kita sehingga ke akhir hayat.

Tidak gerunkah kita dengan ajal yang akan menjemput bila-bila masa sahaja?

Justeru, hindarilah perbuatan buli dan perkasakanlah peranan masing-masing dengan nilai-nilai keagamaan sebagai ibu bapa, guru-guru, ahli masyarakat dan pihak-pihak yang berkenaan dalam mencegah barah buli ini daripada terus menghantui dan menjadi igauan ngeri masyarakat Malaysia.

Dr. Zaizul Ab. Rahman
Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar,
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI