fbpx

Arief Putra jual lagu Melayu Minang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIEF PUTRA

NAMA Arief Putra mungkin agak janggal dan masih kurang dikenali lebih-lebih lagi dalam kalangan peminat muzik di negara ini berbanding Indonesia.

Arief yang berasal dari Jakarta merupakan penyanyi yang banyak menyanyikan lagu genre ‘slow rock’.

Peminat dan pengguna TikTok pastinya mengenali sosok tubuh genit berwajah sawo matang itu dek suaranya yang merdu dengan lenggok bahasa Melayu Minang.

Bukan itu sahaja, dalam YouTube, lagu Arief pernah ditonton sehingga ratusan juta kali sekali gus menjadi satu pencapaian yang luar biasa bagi anak muda berusia 21 tahun itu.

Popular dan cemerlang menerusi lagu duet bertajuk Luka Sekerat Rasa yang menampilkan gandingannya bersama rakan senegara, Yolanda, Arief kini melangkah berani mempertaruhkan single terbaharunya.

Lagu berjudul Hendaklah Cari Pengganti merupakan ciptaan sepenuhnya komposer terkenal seberang, Ayu Rizki Yani dan kolaborasi bersama Luncai Emas Sdn. Bhd. di Malaysia.

“Hasilnya merupakan satu kejutan apabila video klip Hendaklah Cari Pengganti telah mencapai lebih 700,000 ribu tontonan dalam YouTube Luncai Emas sejak dimuat naik September lalu.

“Kami lihat sambutan di Malaysia amat baik dan mendapat tempat dalam kalangan pendengar,” kata kenyataan yang dikeluarkan Luncai Emas baru-baru ini.

Selain menyanyikan lagu sendiri, Arief juga aktif berduet dengan Yolanda yang turut merupakan penyanyi berdarah Minangkabau.

Luncai Emas yang dipelopori penyanyi, pemuzik dan komposer terkemuka Malaysia, Datuk M. Nasir, merasakan single dilantunkan Arief semakin terasa dan disambut baik pendengar serta peminat di Malaysia.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang sudah terlibat dalam penggarapan lagu terbaharu Arief.

“Semoga lagu ini nanti akan menjadi koleksi muzik di tanah air,” tambah kenyataan tersebut.

Mengenai pelancaran lagu tersebut, Luncai Emas mengambil peluang untuk mengajak peminat menonton video klip dalam saluran YouTube rasmi mereka sementara versi audio pula boleh dimuat naik dalam semua saluran digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI