TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Mungkin itulah pepatah yang tepat untuk menggambarkan realiti perjalanan karier seni penyanyi bertubuh genit ini.
Biarpun sudah lebih 10 tahun bergelumang dalam dunia seni, pencapaian dan populariti yang diraih pemilik nama pentas Asmidar tenggelam timbul.
Kehadirannya sekadar ada. Jika ditanya generasi hari ini tentang seorang penyanyi bernama Asmidar, belum tentu ramai yang mengenalinya.
Bertukar daripada sebuah pertandingan ke sebuah lagi pertandingan bakat lain, namun entah di mana silapnya nama Asmidar belum cukup kukuh untuk terpahat sebagai seorang penyanyi wanita tanah air yang berpengaruh.
Melihat profil kejayaan yang pernah diraihnya juga bukan calang-calang. Penyanyi berusia 35 tahun itu pernah bergelar naib juara Bintang RTM 2001, memenangi tempat ketiga pertandingan Bintang Pertiwi TV3 (2001), juara Bintang Asli Remaja (2006) dan juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama (2011).
Lebih membanggakan, Asmidar pernah mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa di pertandingan World Championships of Performing Arts (2009) dan berjaya membawa pulang tiga pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.
Belum rezeki
Kata Asmidar, mungkin rezekinya untuk bersinar dengan lebih terang masih belum tiba. Namun dia percaya masanya akan sampai suatu hari nanti.
“Memang benar. Nama saya tidaklah segah nama-nama penyanyi lain walaupun saya telah menyertai pelbagai pertandingan.
“Untuk mereka yang mengenali saya, sebut sahaja Asmidar, orang hanya tahu sebuah lagu iaitu Biar Sampai Ke Bintang. Lagu itulah yang membuatkan saya dikenali. Saya cuba juga untuk keluarkan single lain yang boleh menarik hati orang. Tetapi tidak berhasil,” ujarnya.
Ungkapnya, melihat rakan-rakan artis lain yang pernah mencipta nama di pentas yang sama dengannya terus dikenali dan kekal popular, Asmidar atau nama lengkapnya Norhasmidar Ahmad, mengakui, timbul tanda soal tentang ‘ramuan’ yang digunakan mereka untuk berjaya.
Seperti diketahui umum, penyanyi berusia 35 tahun ini pernah berentap di pentas yang sama dengan penyanyi seperti Misha Omar, Azharina Azhar, Farawahida dan Allahyarham Siti Sarah dalam Bintang RTM 2001.
Biarpun bergelar naib juara, gelaran tersebut tidak cukup untuk menumpahkan populariti kepadanya seperti yang diraih oleh rakan seperjuangan lain.
Berkahwin
“Ketika pertandingan, usia saya baru mencecah 14 tahun. Saya jadi peserta paling akhir yang masuk dalam industri sebagai penyanyi. Benar, mereka semua lebih berjaya daripada saya sebagai penyanyi dan saya tumpang gembira dengan kejayaan mereka.
“Sejujurnya, saya sedikit pun tidak rasa tertinggal. Cuma saya rasa masa saya belum sampai lagi. Selagi masa itu belum sampai, saya akan teruskan bekerja. Banyak lagi impian yang mahu saya kejar,” jelasnya.
Disebabkan mahu mengejar impian jugalah, hati penyanyi asal Kuala Lumpur itu masih belum ‘terisi’ biarpun usianya kini telah mencecah 35 tahun.
Buat masa sekarang, penyanyi yang pernah mengeluarkan single berentak tradisional berjudul Sireh Pinang itu bertegas, tidak mahu memikirkan soal cinta atau jodoh kerana mahu fokus terhadap kerjaya dan keluarga.
“Sekarang saya sibuk dengan kerja dan fokus untuk keluarga. Untuk ke arah itu (berkahwin) tidak ada lagi sebab saya mahu penuhi impian dan berbakti kepada keluarga dahulu.
“Selagi saya tidak capai impian yang saya inginkan, saya akan tangguh dahulu perkara lain.
“Keluarga ada juga bertanya (perancangan bernikah), tapi mereka faham saya bekerja untuk mencari rezeki,” ujar Asmidar.
Kriteria suami
Disoal sama ada dia pernah melalui episod duka dalam percintaan, Asmidar berkata, dikecewakan itu lumrah.
Namun begitu, dia mengakui kehidupannya tetap gembira biarpun berstatus solo.
“Saya gembira dengan apa yang saya buat sekarang. Saya ada kebebasan. Orang kata berkawan biar 1,000.
“Apabila sudah sampai masanya nanti, bercinta biarlah satu,” katanya.
Mengorek ciri-ciri lelaki idaman yang diinginkan, Asmidar yang kini bergelar tenaga pengajar subjek teater tradisional mek mulung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tidak meletakkan kriteria tinggi untuk bakal suaminya kelak,
Ujarnya, cukuplah dengan keperibadian dan kematangan seiring usia, saling memahami antara satu sama lain.
“Soal rupa paras itu tidak penting. Saya mencari seseorang yang matang, stabil daripada segi ekonomi dan boleh menerima keluarga kedua-dua belah pihak.
“Daripada segi usia, tua atau muda tidak mengapa asalkan matang,” jelasnya.
Benar, pendakian karier Asmidar masih lagi jauh. Biarpun begitu, tidak pernah sekelumit pun hatinya untuk mengalah kerana percaya rezeki pasti akan berpihak padanya suatu hari nanti.
Kata Asmidar, dia bakal terlibat dengan sebuah projek menerusi sebuah program televisyen yang masih belum boleh didedahkan.
“Insya-Allah tahun hadapan akan keluar. Tunggu ya,” simpulnya menutup bicara.