fbpx

K2

Kesepian gadis aktivis alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN berseorangan, Howey tidak patah semangat untuk terus memperjuangkan isu alam sekitar di China.–AFP

KETIKA remaja seusianya sedang mempersiapkan diri untuk memasuki universiti atau bercuti musim panas, gadis berumur 17 tahun itu sebaliknya masih di jalanan.

Gadis remaja dari Guilin, China, Howey Ou sanggup turun ke jalan raya bagi membantah dasar pemerintah negara itu terhadap alam sekitar dalam usahanya menyelamatkan dunia daripada malapetaka iklim.

Tindakan Howey seiring dengan aktivis remaja bagi alam sekitar di seluruh dunia yang sanggup ponteng sekolah bagi menghadiri tunjuk perasaan mengenai ketidakpedulian dunia terhadap perubahan iklim.

Bagaimanapun di China, gerakan seperti itu telah ditekan oleh pemerintah, sekali gus menyebabkan jumlah penyertaan ketika tunjuk perasaan sangat sedikit.

Keadaan ini sama sekali tidak mematahkan semangat Howey yang terinspirasi dengan aktivis gadis remaja perubahan iklim dari Sweden, Greta Thunberg.

Thunberg mengadakan tunjuk perasaan berseorangan selama seminggu pada Mei tahun lalu di luar bangunan kerajaan sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Perubahan iklim merupakan ancaman terbesar bagi kelangsungan hidup manusia. Saya sangat bimbang mengenai perubahan iklim dan kepupusan beberapa spesies haiwan.

“Saya berasa seperti berada di dalam sebuah kapal yang sedang tenggelam, namun semua orang masih makan, minum dan bergembira,” ujar gadis yang petah berkata-kata itu.

China yang memiliki populasi penduduk 1.3 bilion adalah negara yang melepaskan gas karbon tertinggi di dunia. Sebagai hab pembuatan dunia, 75 peratus pelepasan gas rumah hijau di negara berkenaan dihasilkan oleh sektor industri.

Justeru, sekiranya China dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau di udara, ini akan membantu meminimumkan impak perubahan iklim di peringkat global. Usaha yang dilakukan oleh

Howey dianggap relevan dalam usahanya mendesak pemerintah melaksanakan dasar lebih mesra alam sekitar.

Idolanya, Thunberg telah dijemput memberi ucapan kepada para pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mendapatkan penghargaan di atas perjuangannya.

HOWEY mengasingkan barangan plastik untuk dikitar semula. – AFP

Namun berbeza dengan aktivis dari negara Tembok Besar itu yang diusir dari sekolah kerana keengganannya berhenti berkempen.

Dikenali sebagai Ou Hongyi oleh masyarakat tempatan, dia berdepan dengan tekanan daripada polis, ahli keluarga dan kritikan secara dalam talian.

Remaja berkenaan menegaskan, dia akan tetap dengan prinsip hidupnya untuk membunyikan penggera kepada dunia sebelum terlambat.

Howey memberitahu, meskipun dia tidak pernah takut dengan polis, namun kedua-dua ibu bapanya mendapat tekanan hebat daripada pihak berkuasa.

“Selepas saya disoal siasat oleh polis, ibu bapa saya sendiri berusaha menghentikan tindakan saya dengan pelbagai cara.

“Mereka mengurung saya di dalam rumah, tidak membenarkan saya ditemu bual dan melarang saya mengambil bahagian dalam pergerakan perubahan iklim.

“Pernah satu hari, saya berdebat dengan mereka selama lapan jam. Saya berasa sangat sukar dan menyakitkan,” ujarnya.

Penjelajahan solo

Selepas mengadakan tunjuk perasaan di luar pejabat pemerintah, Howey telah menanam pokok di sekitar Guilin yang terletak di selatan negara tersebut.

Howey banyak mempelajari teknik protes tanpa kekerasan yang diguna pakai oleh pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi.

Dia juga berusaha merekrut lebih ramai orang muda untuk bersama-sama dalam perjuangannya, namun tidak ada sambutan daripada masyarakat.

Maka tidak hairanlah sekiranya dia selalu keseorangan ketika membawa sepanduk mengenai kesedaran alam sekitar yang dilukis tangan untuk ditunjuk kepada orang yang lalu-lalang.

Apabila kempennya kian mendapat perhatian masyarakat dan media, Howey memilih untuk berpindah keluar dari rumah keluarganya dan tinggal bersendirian di sebuah asrama di Guilin.

Tindakannya hidup berdikari dianggap asing bagi remaja bawah umur di China. Ibu bapanya amat bimbang mengenai keselamatan Howey dan khuatir dia ketinggalan dalam pelajaran.

“Saya tidak melihat masa depannya, jika dia terus berada di jalan raya. Saya sentiasa mengingatinya supaya tidak terus menentang pemerintah,” ujar bapanya.

Bagaimanapun Howey menafikan kenyataan tersebut dengan menyatakan dia tidak pernah menentang pihak berkuasa sebaliknya perjuangannya adalah mengenai persoalan moral.

Howey yang mempunyai ribuan pengikut di media sosial terutamanya dari luar negara akan terus berjuang untuk mendapat sokongan lebih besar di China.

Musim panas lalu, dia telah melakukan penjelajahan solo dengan berjalan kaki di seluruh negara untuk bertemu badan-badan bukan kerajaan dan aktivis-aktivis alam sekitar.

Kongsinya, dia mendapati semakin ramai yang memahami mengenai krisis iklim yang dihadapi. Pada masa sama, dia mengadu bahawa perjalanan solonya itu merupakan masa paling sunyi dan sukar sepanjang hidupnya.

“Saya tidak tahu laluan hendak dituju dan berapa ramai yang menyokong usaha ini. Saya berasa seperti berada di sebuah tempat terbuka yang kosong, terpencil dan terputus daripada sokongan,” kenangnya.

Pada Oktober tahun lalu, Howey telah dikritik oberjuta-juta netizen selepas wawancaranya bersama media Jerman tular dalam media sosial.

Ramai menuduh Howey cuba meraih perhatian dan melebelnya sebagai aktivis ‘kayu’. Tidak kurang juga netizen yang membuat perbandingan antara Howey dengan Thunberg hingga menjadi bahan ejekan dalam media sosial.

Rentetan itu, dia terpaksa menutup media sosialnya selama beberapa bulan. Setiap kali berdepan waktu sukar, dia akan mencari kembali kekuatan diri melalui pemandangan semula jadi di kampung halamannya.

“Ini sangat membantu saya ketika memerlukan kekuatan,” ujarnya.

Howey percaya majoriti masyarakat di China tidak mempedulikan krisis iklim yang dihadapi, namun dia masih berharap dapat mewujudkan sebuah gerakan alam sekitar terdiri daripada golongan muda.

“Ada ramai anak muda di luar sana yang hanya memerlukan sedikit dorongan untuk mara ke hadapan. Sekiranya suara saya tidak sampai, kami tidak dapat bersatu. Jadi, saya perlu berusaha keras bagi memastikan suara saya didengari oleh mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI