fbpx

Chong Wei ingin beli siakap Langkawi untuk ulangtahun perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chong Wei dan Mew Choo pada hari perkahwinan mereka. -FOTO: INSTAGRAM @leechongweiofficial

PETALING JAYA – Penangan ikan siakap dari Langkawi terus menjadi bualan rakyat Malaysia apabila kali ini bekas jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei pula ‘berkenan’ untuk membeli juadah tular tersebut sempena ulang tahun perkahwinannya.

Chong Wei yang berkahwin dengan isterinya, Datin Wong Mew Choo pada tahun 2012 lalu menyatakan hasrat berkenaan menerusi satu muat naik gambar perkahwinannya di laman Instagramnya semalam.

“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke sembilan buat isteriku. Tahun depan sudah tahun ke-10 kan, mari kita rancang ulang tahun ke-10 yang romatik dengan keadaan semasa Covid-19 yang semakin bertambah baik. Saya sudah impikan Bora-bora dan Tasik Louise.

“Ulang tahun ke sembilan kali ini sederhana sikit namun saya akan belikan kamu ikan siakap dari Langkawi,” katanya di ruangan kapsyen.

Perkongsian tersebut yang mendapat lebih daripada 115,000 tanda suka turut menerima pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia yang kebanyakannya mengakui terhibur dengan sisi kelakar jaguh badminton itu.

“Selamat ulang tahun perkahwinan Datuk, saya fikir Datuk boleh masuk rancangan Maharaja Lawak Mega,” kata @izaanchin.

“Tak pernah tak kelakar. Buktikan Datuk mampu beli siakap tu, sangat popular ikan tu sekarang,” ujar @sodeahannaabdullah.

“Selamat ulang tahun perkahwinan Datuk dan Datin. Semoga gembira di tahun-tahun mendatang. Ayat Datuk tak pernah gagal membuat saya ketawa,” usik @jailanirashid.

Menerusi perkongsian sama, Chong Wei turut menceritakan kenangan dia melamar isterinya itu sewaktu mereka berada Gold Coast, Australia beberapa tahun yang lalu.

“Itu adalah momen yang paling gementar bagi saya, lebih gemntar daripada final Olimpik, lebih gementar daripada waktu mengambil keputusan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM). Saya berlatih ayat lamaran berulang kali namun bila buka mulut masih juga tergagap-gagap.

“Jatuh saya ‘terjatuh’ bila awak membisu selepas dilamar. Adakah saya tidak cukup bagus untuk awak? Tidak cukup kacak kah saya? Saya lihat cermin setiap hari, bukan Andy Lau, tapi muka saya boleh lah cari makan,” katanya.

Tambah beliau, selepas terdiam beberapa ketika, Mew Choo dengan mata yang bergenang air mata mengatakan ya sebelum mereka berpelukan dan menangis bersama.

“Sehingga hari ini saya masih mencubit diri sendiri kerana sukar untuk mempercayai kita sebenarnya bersama dengan dua anak lelaki yang tampan. Tidak sabar untuk meniti hari tua bersama kamu berpegangan tangan.

“Saya berjanji dengan kedua ibu bapa awak saya akan melindungi awak apabila saya mengahwini awak. Saya akan menunaikan janji itu,” luah beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online minggu lalu melaporkan beberapa individu memuat naik gambar resit dibayar mereka di sebuah restoran makanan laut di Langkawi yang mencecah ribuan ringgit sehingga mendapat perhatian banyak pihak.

Penularan harga yang perlu dibayar itu juga turut menarik perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk turut menyiasat kebenaran dakwaan tersebut.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI