KEMAMAN – Seorang anggota berpangkat Lans Koperal tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia selepas dipercayai akibat serangan jantung sewaktu sedang melakukan rondaan di sekitar bandar Chukai di sini malam tadi.
Lans Koperal Mohd. Nor Afiza Mohd., 36, yang bertugas Balai Polis Chukai di sini telah rebah di sebuah stesen minyak sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini pada pukul 9 malam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, Mohd. Nor Afiza terlibat dalam rondaan bersama pasukan pematuhan dengan menaiki kereta peronda sebelum meminta rakan setugas berhenti di stesen minyak.
“Dia tiba-tiba rebah selepas keluar dari kereta peronda sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman.
“Allahyarham yang sudah 15 tahun berkhidmat bersama pasukan polis, meninggalkan seorang isteri dan empat anak termasuk bayi berusia setahun tiga bulan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini hari ini.
Hanyan berkata, jenazah Mohd. Nor Afiza dikebumikan di kampung halamannya, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi, Dungun.
Sementara itu, isterinya, Norazilla Mohd. Yusuff, 32, berkata, suaminya yang menghidap sakit jantung dan darah tinggi mengadu sakit dada sebelum keluar bekerja syif petang semalam. – K! ONLINE