KUALA LUMPUR – Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia 2021 lebur apabila sekadar seri 1-1 menentang Kuching City di Stadium Negeri, Sarawak sebentar tadi.
Walaupun gagal untuk mencatat kemenangan keenam, namun skuad Sang Penyu itu tidak perlu bimbang memandangkan mereka sudah melayakkan diri ke pentas suku akhir lebih awal.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Mohd. Nafuzi Zain itu membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Mohammad Rahmat Makasuf selepas percubaan deras yang dilakukan gagal diselamatkan penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh.
Kapten TFC, Makan Konate hampir meletakkan pasukannya mendahului 2-0 pada minit ke-21, namun percubaan yang dilakukan pemain import dari Mali itu sekadar terkena tiang.
Kemudian, perlawanan dilihat agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum aksi separuh masa pertama berakhir dengan TFC mendahului 1-0.
Bersambung separuh masa kedua, pasukan tuan rumah tidak menunggu lama apabila memerlukan masa kurang seminit untuk menyamakan kedudukan selepas percubaan Yuta Suzuki dari luar kotak penalti menggegarkan gawang TFC.
Gol penyamaan itu nyata membangkitkan semangat pemain-pemain Kuching City apabila mereka meningkatkan tempo permainan serta melakukan beberapa percubaan berbahaya menerusi jentera serangan mereka.
Rahmat hampir menjaringkan gol keduanya pada perlawanan tersebut pada minit ke-62, namun percubaan yang dilakukan terkena tiang biarpun sudah berjaya melepasi kawalan Wan Azraie.
Kemudian, serangan demi serangan dilakukan oleh kedua-dua pasukan bagi memburu gol kemenangan, namun kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.-K! ONLINE