PETALING JAYA – Seramai 150 usahawan belia bumiputera yang dipilih dari hampir 800 jumlah permohonan telah berjaya mara ke peringkat latihan intensif (accelerator) dalam program Superb 2021.
Pengarah Penyampaian Strategik (Ekuiti Korporat & Keusahawanan) Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Rafaiq Bakri Zakaria berkata, peserta yang melepasi peringkat saringan pertama itu dipilih berdasarkan kebolehlaksanaan dan inovasi idea perniagaan mereka yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan, berdaya tahan, berdaya saing serta mampu dibawa ke peringkat global.
Menurut beliau, program Superb dilihat sebagai satu titik permulaan penting untuk melahir dan menyalurkan lebih ramai usahawan belia bumiputera berkaliber dan berintegriti.
“Daripada 150 idea perniagaan yang dipilih tahun ini, kebanyakannya adalah daripada Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama bertemakan ekonomi digital, halal dan makanan, pelancongan, pembuatan, kewangan Islam, pertanian dan komoditi, pertahanan dan keselamatan, pembinaan modular, logistik, pengangkutan dan kelestarian mobiliti serta aeroangkasa.
“Idea-idea ini mencerminkan trend utama dalam kalangan masyarakat dan industri masa kini.
“Teraju telah memilih idea perniagaan lestari dan bersifat penyelesaian kepada isu semasa serta permasalahan masyarakat, terutamanya dalam menghadapi era pandemik yang tidak menentu ini,” katanya dalam kenyataan.
Rafaiq menjelaskan, pemenang bagi pertandingan tersebut akan menjalani latihan intensif selama enam minggu dan berpeluang memenangi geran permulaan perniagaan sehingga RM500,000.