PETALING JAYA – Wanita warga asing yang sebelum ini tular kerana enggan memakai pelitup muka di sebuah pusat beli-belah sekali lagi mencuri perhatian pengguna media sosial selepas dikesan mengulangi kesalahan sama.
Menerusi video berdurasi enam saat yang dikongsi seorang pengguna Twitter, memaparkan wanita tersebut yang digelar ‘Karen’ berjalan bersama dua lagi individu lain tanpa memakai pelitup muka.
“Mesti seronok jadi kaya dan ada berhak untuk rasa anda mengatasi undang-undang.
“Selain itu, apa yang berlaku apabila anda telah didenda sekali tetapi terus mengabaikan SOP (prosedur operasi standard) di Bangsar dan Damas? Mengapakah dia dikecualikan daripada peraturan yang sama yang dikenakan kepada orang lain?,” kata pengirim video itu.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata pengguna media sosial berang dengan tindakan wanita tersebut dan menggesa pihak berkuasa untuk bersifat lebih tegas terhadap wanita tersebut.
“Kecewa sangat-sangat kalau dia tak kena hukuman berat. Terang-terang perlekeh peraturan yang ditetapkan,” kata Nigel.
“Tunggu juga adakah hidup wanita ini akan dirumitkan sama seperti individu yang enggan divaksin? Harap tak ada ‘double standard’,” kata Rayyan.
“Teringat awal-awal Covid-19 dulu ada adik tu menangis kena saman sebab turunkan pelitup muka dekat stesen KTM!,” kata Shila.
Terdahulu, Kosmo! sebelum ini melaporkan wanita tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 atas kesalahan melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 di butik Dior Suria Kuala Lumpur (KLCC) Oktober lalu. – K! ONLINE