PETALING JAYA – “Doakan Reen okey. Minta maaf pada semua yang Reen terpaksa cancel (batal) mesyuarat, acara dan sebagainya untuk minggu ini”.
Demikian hantaran ringkas yang dimuat naik pelakon sensasi Reen Rahim dalam Instagramnya berkenaan status terkini kesihatannya.
Pada hantaran tersebut, Reen turut memaparkan tangan kirinya yang dicucuk drip dan dipercayai sedang menerima rawatan di salah sebuah hospital.
Meninjau ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis tertanya-tanya mengenai punca dia dimasukkan ke pusat perubatan tersebut.
“Kenapa tu. Reen sakit apa? Semoga cepat sihat dan sembuh seperti sedia kala.
“Kau da kenapa. Itulah suka sangat melompat-lompat kan dah mendapat. Cepat sembuh tau.
“Lepas ni jangan hiking (mendaki) dan selalu sangat kerap ke gim, jangan nak angkat berat selalu,” tulis netizen yang turut menebak pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu dimasukkan ke wad akibat keletihan melampau.
Sementara itu, percubaan Kosmo! untuk mendapatkan respons Reen gagal selepas panggilan dan pesanan WhatsApp tidak berbalas.
Terdahulu, pada Hari Raya Aidilfitri lalu, pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim, 34, disahkan positif Covid-19 dan terpaksa beraya serta menjalani kuarantin kendiri secara berasingan daripada keluarga tersayang. – K! ONLINE