IPOH – Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan ibu saudaranya di Kampung Cina, Menglembu semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Selasa depan itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret di sini.
Reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, seorang wanita warga emas berusia 73 tahun ditemui mati dengan kesan kelar dan tikaman pada leher semalam.
Mangsa, Aw Foong Meng ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tepi katil dalam bilik di rumahnya.
Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kelar dan tikaman pada leher dengan senjata berupa pisau masih tertusuk di belakang leher wanita itu.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga anak saudara mangsa dan tinggal bersamanya ditahan untuk membantu siasatan. – K! ONLINE