KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 boleh mendapatkan suntikan tersebut di klinik Parlimen esok.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, pemberian suntikan dos penggalak itu akan bermula pukul 9 pagi sehingga 1 petang.
“Seperti semua sedia maklum, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberikan dos penggalak (booster dose) kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat pada Selasa 2 November 2021 yang lalu.
“Susulan daripada itu, pemberian dos penggalak Ahli-Ahli Yang Berhormat yang belum menerimanya akan diadakan esok (Khamis) bermula pukul 9 pagi hingga 1 petang di klinik Parlimen,” katanya sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Jelas Mohd. Rashid, Ahli Yang Berhormat boleh menghubungi klinik Parlimen untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membuat janji temu bagi penerimaan dos penggalak itu.-K! ONLINE