BESUT – Hujan lebat selama beberapa jam dan fenomena air pasang besar menyebabkan Kampung Pulau Perhentian Kecil, Kuala Besut di sini dilanda banjir kilat hari ini.
Sebanyak 20 rumah penduduk pulau peranginan tersebut mula dinaiki air bah mulai pukul 11 malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, limpahan air dari bukit berhampiran memburukkan lagi kejadian banjir tersebut.
“Pemeriksaan mendapati pertembungan antara fenomena air pasang besar dan limpahan air dari kaki bukit menyebabkan sistem perparitan di perkampungan itu menjadi penuh dan tersumbat.
“Begitupun, paras banjir mulai surut pada pukul 10 pagi ini setelah cuaca semakin baik,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Rosman berkata, pemantauan tetap dilakukan kerana Pulau Perhentian masih dilanda hujan renyai.
Tambah beliau, setakat ini, Sekretariat Pengurusan Banjir negeri memutuskan tiada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran kejadian banjir kilat terbabit. – K! ONLINE