fbpx

Bubar DUN Melaka: Mahkamah tolak permohonan Adly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan membatalkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta-merta di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak permohonan kebenaran semakan tersebut yang difailkan Adly sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Noorin berkata proses membuat keputusan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam bagi membubarkan DUN adalah tidak boleh dipertikaikan.

“Justeru pembubaran itu tidak boleh dipertikaikan oleh mahkamah, sehubungan itu ia tidak boleh diubah menerusi semakan kehakiman,” kata hakim itu.

Pada prosiding Isnin lalu Peguam Kanan Persekutuan  S.Narkunavathy berhujah bahawa pemohon (Adly) tidak mempunyai kes yang boleh dipertahan bagi membolehkan meritnya didengar pada pendengaran substantif semakan kehakiman.

Berpandukan diktum Mahkamah Rayuan dalam kes Tan Sri Musa Aman, adalah jelas bahawa perkara berkaitan pengisytiharan serta pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh didengar dan diadili oleh mahkamah selain terlindung daripada penelitian kehakiman.

Sementara peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili pemohon berhujah responden pertama (Sulaiman) tidak mempunyai asas dari segi perlembagaan untuk menasihati responden keempat iaitu Mohd. Ali untuk membubarkan DUN Melaka.

Beliau berkata, adalah jelas bahawa Sulaiman telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli dewan itu ketika beliau didakwa menasihati Mohd. Ali untuk membubarkan DUN Melaka.

Oleh itu, pemohon berhujah bahawa melainkan responden keempat menggunakan budi bicaranya di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Negeri Melaka, iaitu menolak permintaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, pengisytiharan untuk pembubaran itu di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka bukanlah dilakukan mengikut budi bicara beliau, katanya.

Adly ,50, selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman itu pada 22 Oktober lalu menerusi firma guaman Gan Ho & Razlan Hadri dengan menamakan Ketua Menteri Melaka (caretaker), Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof sebagai responden pertama dan kedua.

Sementara responden ketiga dan keempat ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara deklarasi yang dituntut Adly ialah nasihat responden pertama terhadap responden keempat pada atau sekitar 4 Oktober 2021 untuk membubarkan DUN Melaka ke-14 menurut Artikel 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka adalah tindakan mala fide (berniat jahat) kerana responden pertama tidak lagi mempunyai sokongan besar ahli DUN Melaka.

Selain itu, Adly turut memohon satu deklarasi bahawa dalam keadaan apa pun adalah sangat tidak munasabah dan tidak rasional bagi responden pertama untuk menasihati responden keempat pada tarikh sama untuk membubarkan DUN Melaka dalam keadaan pandemik atau endemik Covid-19 yang sedang berlaku di negara ini.

“Selanjutnya, satu perintah certiorari (menghalang) bahawa Writ dan notis PRN yang dikeluarkan responden ketiga dibatalkan serta-merta,” kata bekas Ketua Menteri Melaka antara Mei 2018 hingga Mac 2020.

Pada 5 Oktober lalu, PRN bakal diadakan di Melaka selepas Dewan DUN Melaka dibubar, susulan kemelut politik di negeri itu.

Keputusan mengejutkan itu diumum Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dalam satu sidang akhbar khas.

Sebelum ini desas-desus mengenai pergolakan politik dalam kerajaan Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI