LONDON – Sekurang-kurangnya empat pemain Chelsea dilaporkan terpaksa dikuarantin bagi mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan menjelang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.
Chelsea mengesahkan empat pemainnya dikuarantin bagi mematuhi protokol Liga Perdana, namun mereka enggan mendedahkan senarai nama pemain-pemain tersebut.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada empat pemain tersebut didapati positif Covid-19 ataupun tidak tetapi ia pastinya memberi tamparan hebat buat The Blues dalam persiapan musim baharu.
“Beberapa pemain kami terpaksa dikuarantin bagi mengikuti arahan kerajaan serta protokol Liga Perdana, namun kami tidak boleh dedahkan nama mereka,” kata kelab tersebut dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Sheffield United, West Ham United dan Brighton sudah merekodkan 14 kes positif sebaik sahaja mereka kembali menjalani latihan.
Berita berhubung pemain Chelsea dikuarantin itu timbul ketika pasukan tersebut bakal beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Brighton Sabtu ini dengan kehadiran sejumlah penonton.
Difahamkan, perlawanan itu bakal dijadikan sebagai ujian kehadiran semula penonton ke stadium dengan 2500 penonton dijangka hadir dan perlu mematuhi penjarakan sosial. – AGENSI