Oleh MOHD FITRIE MUHAMAD
KUALA LUMPUR – Aksi terakhir peringkat kumpulan terus menghantui impian besar Petaling Jaya (PJ) City FC untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia apabila badi itu terus kekal pada saingan musim ini.
PJ City yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak terpaksa ‘berputih mata’ apabila tewas 0-1 kepada Sabah FC pada aksi terkahir Kumpulan D di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.
Sebagai rekod, PJ City juga tewas pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang turut menyaksikan misi mereka ke peringkat kalah mati lebur sewaktu edisi 2018 dan 2019.
Sama seperti aksi sebelum ini, perlawanan di Stadium Likas berlangsung atas padang becak yang menyaksikan pergerakan bola sedikit terganggu.
Permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan, namun tuan rumah lebih bernasib baik apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Risto Mitrevski pada minit ke-21.
Jaringan itu membangkitkan semangat PJ City yang dilihat meningkatkan tempo permainan untuk mencari gol penyamaan sebaliknya Sabah nyata lebih bersedia.
PJ City yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak memulakan babak kedua dengan lebih garang tetapi pertahanan tuan rumah kekal berdisiplin.
Minit ke-67, Khyril Muhymeen Zambri memperoleh peluang terbuka untuk menyamakan kedudukan, sebaliknya bola tandukannya tersasar daripada sasaran.
Tuan rumah seakan lebih tertumpu kepada serangan balas dengan baki aksi menyaksikan PJ City lebih mendominasi permainan dan bola lebih banyak berlegar di kawasan Sabah. – K! ONLINE