KUALA LUMPUR – Pernah bergelar pasangan kekasih, penyanyi Shahir Zawawi mengakui sentiasa mendoakan kebahagiaan buat Erra Fazira, sekiranya benar aktres popular itu sudah mengahwini seorang ahli politik seperti dihebohkan ramai.
Sebagai bekas kekasih, Shahir mengakui masih berhubung sehingga sekarang, namun atas dasar sahabat baik.
Perbualannya dengan Erra pula langsung tidak menyentuh hal peribadi apatah lagi bertanyakan kesahihan khabar angin tersebut.
“Saya dan Erra masih berkawan baik. Kali terakhir kami berbual tiga hari lalu tapi tiada pula saya tanyakan pasal gosip (kahwin) itu. Saya tak pasti dan tak tahu walaupun ada dengar-dengar.
“Buat masa ini saya sibuk dengan urusan kerja. Cerita yang keluar itu pun ada orang yang sampaikan. Bagi saya kalau dia kahwin, itu benda baik dan bukannya kena tangkap.
“Kalau benda baik, tak perlu terkejut. Yang penting kita doa yang baik-baik. Saya pun tidak berasa terkejut atau kecewa jika perkara itu betul, malah mendoakan kebahagiaannya.
“Kalau kita ikhlas berkawan dengan seseorang, apabila sesuatu perkara baik terjadi kepada dia, sudah tentu kita patut tumpang gembira,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti Hijrahkan Laguku.
Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 33, berkata demikian bagi mengulas desas-desus perkahwinan wanita popular tersebut yang masih menjadi tanda tanya ramai.
Terdahulu, Erra atau Fazira Wan Chek, 47, menerusi Instagram menegaskan lebih selesa untuk berdiam daripada melayan gosip kononnya sudah menjadi isteri kepada seorang ahli politik dari Perak yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dua tahun lalu Erra pernah membuat pengakuan hubungannya dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan itu sudah berakhir namun mereka tetap menjalin persahabatan.
Sementara itu, Shahir menyatakan mahu fokus terhadap kerjaya seninya yang baharu kembali bernafas selepas beberapa tahun menumpukan perhatian terhadap perniagaan.
Katanya, soal hati hanya diletak ke tepi tambahan pula kini sibuk dengan persediaan bagi menyahut cabaran menyertai program realiti terbitan TV Alhijrah yang memerlukannya memberi tumpuan penuh.
“Saya masih solo, belum ada kekasih sebab saya jenis yang suka fokus pada satu perkara dalam satu masa. Selepas dapat kembali aktif dan melepasi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah tentu komitmen penuh pada kerja saja.
“Janganlah kaitkan saya dengan sesiapa, sebab saya ini punya masalah susah nak fokus dua tiga benda. Bila ada gangguan, fokus saya jadi lari,” katanya lagi.
Ditanya mengenai situasi lalu yang mengaitkan kehilangannya dalam industri hiburan, dia mengakui semakin matang dalam mengemudi kehidupan dan kerjaya.
Pada usia ini dirinya lebih bijak membuat pertimbangan berbanding mengikut emosi sekali gus ingin kembali berkongsi dakwah menerusi kemunculan semula.
“Bukan bermakna saya sentiasa ingin lari daripada masalah. Cuma dulu saya jenis tak suka nak memanjangkan lagi masalah, jadi saya memilih untuk diam
“Siapa yang tidak pernah melalui fasa turun naik? Namun seiring kematangan selain pernah melalui pelbagai pengalaman, saya cuba untuk terus bertahan.
“Program realiti ini juga antara platform untuk saya bertemu semula pendengar lama dan baharu untuk berkongsi lagi dendangan yang memberi manfaat buat semua,” tambahnya.
Selain Shahir, penyanyi lain yang turut bertarung dalam pertandingan kendalian Faizal Ismail dan Bell Ngasri itu adalah Datuk Nash, Iwan Shahman, Mark Adam, Pangeran Adam, Zaf VE, Shahir, Zawawi, Zack Kool serta Rahmad Mega. – K! ONLINE