MUNICH – Ketua Jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick mengakui kejayaan pasukannya menjulang gelaran Liga Juara-Juara musim ini memberi sinar baharu buat pasukan kebangsaan Jerman.
Menurutnya, kejayaan itu memberi harapan kepada para peminat Jerman untuk menyaksikan pasukan mereka kembali bangkit selepas dimalukan pada saingan Piala Dunia 2018 di Rusia apabila berada di tangga tercorot Kumpulan F.
“Saya tidak mahu memberi tekanan kepada jurulatih Jerman, Joachim Loew tetapi sekurang-kurangnya kejayaan ini adalah asas yang baik buat skuad kebangsaan untuk ke saingan Euro tahun depan.
“Hampir sebahagian besar pemain Bayern menyertai skuad kebangsaan Jerman, mereka sudah melihat kemampuan yang dimiliki dan memberikan semangat untuk bermain demi negara selepas ini,” kata Flick.
Ahad lalu menyaksikan Bayern berjaya mengesahkan gelaran trebel musim ini apabila merangkul trofi Liga Juara-Juara selepas menundukkan Paris Saint-Germain.
Flick, 55, mengambil alih tugas sebagai jurulatih Bayern selepas kelab itu memecat Niko Kovac pada November tahun lalu.
Kemenangan tersebut memberi kesan yang mendalam buat Flick kerana dia yang sebelum ini merupakan pembantu kepada Loew ketika Jerman merangkul Piala Dunia 2014 dan setahun sebelum itu, Bayern juga merangkul gelaran trebel. – AGENSI