KLANG – Sikap tamak seorang pemandu e-hailing mengaut keuntungan dengan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak setahun lalu memakan diri apabila dia diberkas pihak berkuasa baru-baru ini.
Lelaki tempatan berusia dalam lingkunga 30-an itu ditahan dalam operasi khas oleh sepasukan anggota Maritim Malaysia (APMM) Selangor pada pukul 1.26 tengah hari, Jumaat lalu berhampiran sebuah bank di Pelabuhan Klang di sini.
Tangkapan ke atas duda anak empat itu dibuat selepas dua anggota APMM dan wartawan Kosmo! membuat tempahan dengan menyamar sebagai penumpang.
Semasa berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) itu, anggota APMM memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa.
Selain itu, sebuah kenderaan dinaiki pasukan APMM turut menghalang MPV tersebut bagi mengelakkan suspek meloloskan diri.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, penahanan ke atas suspek dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan dan siasatan terhadap PATI yang ditangkap sebelum ini.
“Hasil siasatan awal, suspek dipercayai menjadi transporter atau pengangkut bagi sindiket penyeludupan PATI didalangi warga Indonesia yang berada di negara ini sejak setahun lalu.
“Tugas suspek adalah menghantar PATI ke lokasi-lokasi pelepasan yang telah ditetapkan oleh ejen,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, suspek menerima upah RM50 bagi satu kepala untuk penghantaran di sekitar Lembah Klang.
Sebelum tangkapan dibuat, suspek dipercayai telah menghantar lapan PATI menggunakan kenderaannya ke lokasi yang diarahkan.
Difahamkan, suspek sebelum ini merupakan bekas pengawal peribadi seorang orang kenamaan bergelar Datuk.
Mengulas lanjut, Mohd. Rosli memberitahu, suspek menerima tempahan menerusi aplikasi e-hailing yang dilakukan oleh ejen bagi menghantar PATI.
“Upah yang tinggi membuatkan suspek gelap mata dan meneruskan kegiatan haram sebagai transporter sebagai sumber pendapatan tambahan.
“Selain menjadi transporter, suspek turut melakukan kerja hakiki sebagai pemandu e-hailing,” katanya.
Ujar beliau, komplot pemandu e-hailing dan sindiket merupakan taktik terbaharu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kita memberikan amaran kepada mana-mana individu agar tidak terlibat dalam sindiket PATI atau berdepan tindakan tegas,” katanya.
Hati-hati Tambah beliau, mereka yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan PATI boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.-K! ONLINE