TIDAK keterlaluan jika mengatakan arena sukan badminton negara berdepan cabaran sukar dalam melahirkan seorang lagi pemain berkelas dunia selepas persaraan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei.
Ketika era kegemilangannya, tidak dinafikan Chong Wei boleh dianggap antara ikon dalam sukan tersebut sebaris dengan legenda badminton China, Lin Dan yang merupakan seteru utamanya.
Kehebatan pemain kelahiran Pulau Pinang itu diakui oleh ramai pihak sehingga beliau digelar sebagai ‘Raja Siri Super’ atas kemampuannya memenangi semua kejohanan Siri Super ketika bergelar pemain.
Bagaimanapun, sebaik beliau menggantung raket, amat jarang kedengaran pemain negara, terutamanya dalam acara perseorangan lelaki merangkul kejuaraan secara konsisten seperti dilakukan Chong Wei.
Bagi penulis, ia mungkin memerlukan sedikit masa bagi melahirkan pemain yang memiliki corak permainan seakan-akan Chong Wei memandangkan ketika ini kita sudah memiliki sebutir permata yang sedang bersinar, Lee Zii Jia.
Sudah tentu barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang diketuai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann sedang melakukan usaha terbaik dalam mempersiapkan pemain ke arah Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam tidak sedar, peminat-peminat tegar sukan badminton tanah air pastinya pernah mendengar nama Ng Tze Yong, seorang pemain muda yang turut memiliki corak permainan menarik serta memiliki masa depan cukup cerah.
Aksinya ketika berdepan jaguh Indonesia, Jonatan Christie pada saingan Piala Thomas bulan lalu sedikit sebanyak berjaya menarik perhatian peminat-peminat sukan badminton apabila memberikan saingan sengit kepada pemain No.7 dunia itu.
Selain itu, kejayaan merangkul dua kejuaraan musim ini pada kejohanan Terbuka Poland Mac lalu serta Cabaran Antarabangsa Belgium, sekali gus membantunya untuk memperbaiki kedudukan ranking di tempat ke-68 dunia.
Bekas pemain No.1 dunia, Muhammad Roslin Hashim percaya pemain kelahiran Johor itu memiliki potensi yang cukup besar selain mampu menjadi antara pemain terbaik dunia sekiranya diberikan perhatian khusus.
“Sekiranya dia (Tze Yong) dijaga dan diberi pendedahan yang betul, saya fikir dia boleh pergi lebih jauh berbanding Zii Jia. Walaupun muncul juara di Belgium, namun itu satu permulaan baik baginya.
“Kita perlu beri peluang kepada dia untuk memenangi kejohanan bertaraf cabaran antarabangsa terlebih dahulu sebagai medan menimba ilmu,” katanya.
Ada benarnya juga apa yang diperkatakan Roslin kerana penulis percaya, harapan terlalu tinggi kadangkala mampu menghadirkan tekanan kepada pemain sehingga gagal untuk menterjemahkan apa yang dipelajari dalam perlawanan sebenar.
Sebelum ini, Choong Hann turut menjelaskan, BAM bekerja keras dalam meningkatkan keupayaan fizikal Tze Yong bagi memastikan dia mampu mencapai potensi sebenar.
Katanya, badan induk sukan badminton negara itu bekerjasama dengan Institut Sukan Negara dalam memastikan Tze Yong mencapai berat ideal selain meningkatkan kemampuan fizikalnya bagi menampilkan aksi lebih bertenaga.
“Sejak dia (Tze Yong) menyertai skuad kebangsaan, memang kami melakukan apa yang mampu bagi memastikan dia mencapai berat ideal. Saya gembira dengan prestasinya ketika ini, namun fizikal masih perlu diperbaiki,” ujarnya.
Justeru, penulis percaya peminat badminton sudah boleh menarik nafas lega memandangkan kita memiliki pemain perseorangan lelaki yang cukup berpotensi seperti Zii Jia, Tze Yong dan beberapa orang lagi untuk berentap dengan jagoan lain dunia.-K! ONLINE