LONDON – Sebilangan ibu bapa di sekitar Manchester yang berkunjung ke Trafford Centre menyelar tindakan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut meletakkan patung daripada siri popular Netflix, Squid Game di lokasi tumpuan itu.
Mereka berkata, boneka tersebut sebagai ‘tidak sesuai untuk tontonan umum’.
Menurut laporan akhbar Daily Star semalam, selain patung gergasi setinggi tiga meter itu, terdapat juga beberapa ‘pengawal Squid Game’ di pusat beli-belah berkenaan.
Ibu bapa yang berkunjung ke situ meluahkan rasa marah di Facebook bagi tindakan yang dianggap tidak sesuai dilakukan itu.
“Enggan membenarkan anak-anak menonton siri tersebut, namun ada yang meletakkannya di tengah-tengah Trafford Centre pada hari Sabtu yang dipenuhi pengunjung. Bagus sekali,” sindir seorang ibu pada laman Facebook Manchester Family.
Bagaimanapun, terdapat juga sebilangan ibu bapa yang menganggap kehadiran patung tersebut sebagai perkara biasa dan tidak memberi sebarang ancaman kepada kanak-kanak.
“Orang ramai meluahkan rasa bimbang mengenai robot daripada siri televisyen popular, namun dalam masa sama mereka membawa anak-anak melintasi Anne Summers (butik pakaian dalam dan permainan seks),” kata seorang ibu. – Agensi