NEW YORK – Bintang tenis Britain, Johanna Konta mara ke pentas separuh akhir selepas mudah menewaskan wakil Greece, Maria Sakkari dengan kemenangan straight set pada Terbuka Cincinnati.
Konta yang turun dengan semangat baharu selepas membawa masuk jurulatih, Thomas Hogstedt mula menunjukkan impak positif apabila membenam cabaran Sakkari dengan keputusan 6-4, 6-3.
Hogstedt sebelum ini pernah melatih beberapa pemain ternama dunia seperti Maria Sharapova, Caroline Wozniacki dan Victoria Azarenka sebelum bekerjasama dengan Dimitri Zavialoff.
“Saya sangat gembira kerana mencatat kemenangan hari ini. Saya tahu ia bukan tugas yang mudah ketika berdepan Sakkari. Bagi saya setiap perlawanan adalah sukar jadi saya tidak boleh terlalu selesa.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan cara saya bermain terutama menerusi pukulan servis dan ia semakin baik dari semasa ke semasa.
“Sudah pasti impian saya mahu melangkah ke pentas final dan itulah harapan saya. Jika mampu meraih kemenangan di kejuaraan ini, adalah bonus buat saya,” ujarnya.
Sakkari sebelum ini dijangka melangkah ke pentas final selepas melakukan kejutan menumbangkan juara 23 Grand Slam, Serena Williams 5-7, 7-6 (7/5), 6-1 pada pusingan 16 terbaik kelmarin. – AGENSI