JAKARTA – Gara-gara mabuk, seorang anak cuba merogol ibu kandungnya sendiri sehingga tergamak membogelkan wanita berkenaan, lapor laman berita Suara.com semalam.
Dalam kejadian di wilayah Lampung Timur pada Ahad lepas, lelaki yang hanya dikenali sebagai TS itu dilaporkan pulang ke rumahnya pada waktu subuh dalam keadaan mabuk.
Menurut Ketua Polis Bahagian Jenayah Lampung Timur, Asisten Komisioner Polis Ferdiansyah, ibu suspek membukakan pintu untuk memarahi pemuda tersebut, namun bebelan wanita itu tidak dihiraukannya.
Beberapa minit kemudian, suspek mengekori ibunya ke bilik mandi dan menarik rambut serta menumbuk bahagian tulang rusuk mangsa.
“Dia kemudiannya mengheret mangsa ke bilik tidur sebelum cuba merogol wanita berkenaan dan melucutkan semua pakaiannya,” kata Ferdiansyah.
Jeritan mangsa kemudiannya didengari oleh jirannya. Jiran tersebut dengan segera bertindak memanggil ketua rukun tetangga, yang kemudiannya menghubungi polis.
“Polis memberkas suspek yang ketika itu masih berada di bawah pengaruh alkohol dan dia dibawa ke Balai Polis Way Bungur atas dakwaan cubaan merogol,” kata Ferdiansyah.– Agensi