ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir di negeri ini yang masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pendang dan Kota Setar berkurangan kepada 343 orang daripada 91 keluarga sehingga pukul 4 petang ini.
Ketua Bahagian Sekretariat Bahagian Pengurusan Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, dua PPS yang masih aktif di daerah Pendang ialah Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dan Dewan Cenderawasih.
“Seramai 170 mangsa daripada 43 keluarga masih berada di PPS Dewan Rakan Sukan dan 59 mangsa daripada 20 keluarga di PPS Dewan Cenderawasih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, di daerah Kota Setar pula, hanya satu PPS yang masih beroperasi iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent melibatkan seramai 114 mangsa daripada 28 keluarga.
“Sebanyak empat PPS lagi di daerah Kota Setar iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti, PPS SK Darul Hikmah, PPS SK Convent dan PPS SMK Simpang Kuala ditutup hari ini,” tambahnya. – K! ONLINE