Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polos Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan 1,374 individu membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah sejak Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejayaan berkenaan secara tidak langsung memberi kejayaan kepada IPD Kota Kinabalu menumpaskan dua sindiket dadah selain lapan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Kita juga menahan 54 individu mengikut Seksyen 39C ADB 1952 dan sepanjang tempoh sama, polis juga merampas 5,459.35 gram syabu yang bernilai RM700,759.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas mencecah 10,917.31 gram dengan nilai RM1,231,413,” katanya selepas membuat serbuan di Kampung Suang Parai hari ini.
Menurutnya, operasi melibatkan lima pegawai dan 58 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bersama Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam operasi yang bermula pukul 12 tengah hari itu.
“Hasil serbuan polis menahan 26 lelaki termasuklah enam warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan jenayah dadah termasuk dua pengedar.
“Polis turut merampas 1.5 gram dadah jenis syabu daripada suspek yang ditahan dalam operasi,” katanya. – K! ONLINE