PETALING JAYA – Sebanyak 47,000 naskah buku percuma akan diberikan kepada peserta program Wanita Bangkit Berniaga (WBB) yang akan diadakan pada 26 hingga 28 November depan.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks International), Radz Mohd. berkata, buku itu menampilkan 100 usahawan sebahagiannya merupakan golongan wanita yang sudah mencapai jualan melebihi RM1 juta dalam setahun di bawah bimbingan RichWorks.
“Buku terbaru ini bertajuk 100 Usahawan Jutawan: Satu Misi Bantu The Nation juga dicetak khas sempena hari jadi ke-47 Pengasas RichWorks International dan Mentor Usahawan, Datuk Dr. Azizan Osman pada Ahad ini.
“Buku setebal 600 lebih halaman, pastinya memberikan inspirasi, idea dan bukti bahawa anda terutama wanita juga mampu bina bisnes yang berjaya,” katanya ketika ditemui pada majlis Jerayawara Jutawan Wanita di Wisma Mutyara, Puchong, hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Jelasnya, peserta perlu mendaftar dalam program WBB sebelum menerima e-buku atau buku fizikal dengan hanya membayar kos penghantaran.
Sementara itu, Rina berkata, program WBB mendapat sambutan menggalakkan dengan seramai 16,000 orang sudah mendaftar setakat ini.
“Saya menyeru orang ramai terutama golongan wanita di luar sana untuk tidak melepaskan peluang ini dengan sertai WBB malah mendapatkan buku 100 Usahawan Jutawan ini.
“Mereka akan diberikan pendedahan dan dilatih bagaimana nak memulakan dan menjalankan bisnes yang berjaya serta platform mulakan bisnes, insya-Allah,” jelasnya.
Untuk mendaftar program WBB dan mendapatkan buku 100 Usahawan Jutawan, layari laman web wanitabangkitberniaga.com. – K! ONLINE