KUALA KANGSAR – Seramai 279 orang daripada 369 orang guru yang belum menerima vaksinasi Covid-19 di negeri ini dilaporkan menolak untuk menerima suntikan sehingga semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menggesa guru-guru berkenaan untuk menerima suntikan vaksin dengan kadar segera sebelum sesi persekolahan dibuka 22 November ini.
Menurut beliau, keenganan guru terlibat bakal menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran terjejas apabila sekolah dibuka seperti biasa selepas ini.
“Berdasarkan laporan terdapat seramai 37,438 orang guru di negeri ini dan daripada jumlah tersebut seramai 37,069 telah menerima suntikan vaksin COvid-19 sehingga semalam.
“Bagaimana pun, masih ada 369 orang guru belum divaksin dan daripada jumlah tersebut seramai 279 orang menolak, jadi saya merayu agar mereka menerima vaksin sebelum sesi persekolahan di buka 22 November ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak Tahun 2021 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini. -K! ONLINE