SEPANG – Dua beranak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menghalang anggota polis menjalankan tugas di hadapan Pintu Lima dan Pintu Enam, Aras Lima Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Peniaga, Basri Lebai Bawai, 55, dan anaknya, Muhammad Saari, 22, mengaku melakukan kesalahan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.
Kedua-dua mereka melakukan kesalahan tersebut pukul 1 tengah hari pada 2 November lalu iaitu dengan sukarela menghalang anggota polis tersebut, Lans Koperal Ikhwan Syafiq Ismail dalam menjalankan fungsi awamnya.
Berikutan itu, Basri dikenakan hukuman penjara tujuh hari dari tarikh ditahan serta denda RM5,000 dan sekiranya gagal boleh dikenakan penjara 10 bulan manakala anaknya yang juga penuntut di sebuah universiti awam (UA) dikenakan denda RM2,500 dan jika gagal dikenakan penjara tiga bulan.
Dalam pertuduhan tersebut, Basri memaki pengadu kerana rakan sekerjanya telah mengeluarkan saman polis di atas kereta tertuduh yang diletakkan di kawasan orang kurang upaya (OKU) dan menghalang lalu lintas.
Tertuduh kemudian bergerak menuju ke arah kereta sambil mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ kepada Ikhwan Syafiq dan seterusnya, anggota polis itu mengarahkan Basri mengambil kad pengenalan dan lesen memandu.
Bagaimanapun, tertuduh enggan dan terus masuk ke dalam kereta dan pengadu menghalangnya daripada bergerak, namun kereta tersebut yang dipandu Muhammad Saari terus memandu dengan cara berbahaya seakan-akan akan melanggar anggota polis tersebut.
Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibawa bersama Seksyen 34 kanun yang sama serta membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya. – K! ONLINE