fbpx

Wajah disunting menyerupai babi, Iqbal tidak berdendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FOTO memaparkan wajah Iqbal disunting menyerupai seekor haiwan.

PETALING JAYA – Usahawan yang kini bergelar penyanyi Iqbal Zulkefli berlapang dada dan tidak menyimpan dendam terhadap pihak yang sanggup menyunting gambarnya menyerupai haiwan babi dan juga anjing.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Iqbal atau nama lengkapnya Ahmad Iqbal Zulkefli berkongsi beberapa keping foto dirinya yang disunting menyerupai haiwan haram tersebut sambil memohon maaf atas segala perbuatan yang pernah dia lakukan sehingga mengundang kebencian netizen.

“Saya memohon maaf atas segala perbuatan yang mengundang kemarahan semua di sini. Saya banyak khilaf (berbuat salah). Harus terima segala ini dengan hati yang terbuka,” katanya.

Walaupun dihina dan diperlakukan sedemikian rupa, bekas pembantu peribadi kepada usahawan Datuk Seri Vida itu tidak berdendam kerana mengakui kesalahan yang pernah dia lakukan sebelum ini.

“Sedikit pun saya tidak berdendam kerana saya tahu tidak semua perkara saya lakukan itu betul.

“Doakan saya dapat menjadi yang lebih baik. Saya betul-betul minta maaf atas segala perbuatan saya yang tidak menyenangkan,” katanya.

Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya dalam Instagram turut sama terkejut dengan kecaman yang dihadapi Iqbal oleh pihak yang tidak menyukai dirinya dan menganggap apa yang dilakukan terhadap usahawan mud aitu sebagai melampau.

“Ya Allah, perilaku tidak ada hati perut. Sabar Iqbal. Ada hikmah daripada apa yang berlaku,” ujar seorang pengikutnya.

“Kenapalah sampai begitu sekali? Kalau benci sekalipun, janganlah sampai mengaibkan dia (Iqbal). Dia masih ada ibu bapa. Kita kena jaga hati dan hormat. Lagipun kita sebagai manusia pun banyak melakukan kesilapan,” kata seorang lagi pengikutnya.

“Jahatnya manusia seperti ini. Tidak suka sekalipun jangan buat orang begitu. Dosa sesama manusia paling susah saat hendak matin anti,” komen seorang pengguna Instagram.

Terdahulu, Iqbal sebelum ini pernah beberapa kali menuai rasa benci oleh netizen bermula dengan kisah ‘pernikahan tidak jadi’ antaranya dengan Vida.

Pasangan itu merancang mendirikan rumah tangga pada Disember akan datang tetapi berdepan pelbagai konflik seperti tidak mendapat restu kedua-dua anak Vida dan sebagainya.

Kemudiannya Iqbal sekali lagi menjadi perhatian netizen apabila menayang segala kemewahannya termasuk membongkar harga kucing-kucing miliknya yang dibeli dengan nilai sehingga puluhan ribu ringgit.

Kebencian netizen terhadap dirinya semakin memuncak apabila Iqbal melancarkan single pertamanya berjudul Hujan pada 1 November lalu selain tular video menunjukkan dia memijak taburan wang kertas RM50 di atas lantai.

Bagaimanapun, Iqbal memaklumkan kepada Kosmo! Online, wang kertas yang bertebaran di atas lantai ketika itu hanyalah wang kertas palsu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI