fbpx

Suburkan sektor penternakan sumber makanan negara tak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh DR. SANSUL BAHRI AHMAD

BAJET 2022 yang dibentangkan pada 29 Oktober lalu antaranya bertujuan untuk memperkasa sektor pertanian supaya menjadi lebih moden, dinamik dan kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia.

Ia adalah satu bajet dijajarkan kepada Rancangan Malaysia ke-12 dan DasarAgro Makanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang dilancarkan pada 25 Oktober lalu.

Senario awal sektor pertanian negara menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia dalam sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 46 peratus pada tahun 1957.

Dasar Pertanian Negara Pertama (DPN1) 1984-1991 dilaksanakan pada tahun 1984 dengan memberi penekanan kepada dasar yang mengembangkan daya saing tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan koko.

Banyak pembangunan prasarana dan pembukaan tanah-tanah baharu bagi memajukan kedua-dua tanaman komoditi ini.

Kelapa sawit amat sesuai dengan penternakan ruminan seperti lembu, kambing dan biri-biri, manakala perladangan getah untuk penternak biri-biri.

Dengan pelaksanaan dasar ini, seluas 5.6 juta hektar kawasan perladangan sawit berpotensi untuk diusahakan sebagai kawasan pengeluaran lembu secara integrasi pada 2015.
Sebanyak 47.1 peratus tanaman sawit terdapat di Semenanjung, 27.4 peratus di Sabah dan Sarawak (25.5 peratus).

Sebahagian besar perladangan ini milik persendirian, Felda, pekebun kecil, agensi kerajaan negeri, Felcra dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Sewaktu era bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pada tahun 2001, beliau meminta syarikat perladangan besar memperuntukkan sebahagian tanah untuk penanaman komoditi makanan dan penternakan ruminan iaitu lembu serta biri-biri dan kambing.

Beliau ketika itu mahu kegiatan pengeluaran makanan terutama di ladang sawit dibuat secara persepadu dan komersial bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya sejuta ekor lembu, berbanding ketika itu 120,000 ekor.

Industri ternakan ruminan khususnya lembu pedaging dan kambing serta biri-biri pada masa ini masih berskala kecil, tetapi berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara serta mengurangkan daging import.

Antara isu dan cabaran yang dihadapi dalam pembangunan industri ini adalah kekurangan kawasan pemeliharaan, baka ternakan berkualiti, harga makanan yang tinggi serta kekurangan kepakaran dan tenaga kerja.

Transformasi industri ternakan ditumpukan kepada perusahaan secara komersial, penghasilan baka ternakan berkualiti, perluasan skim Amalan Penternakan Yang Baik, penyediaan tempat penyembelihan sesuai dan pemprosesan selamat serta penghasilan rumusan makanan ternakan berkualiti pada harga kompetitif.

RUMPUT napier ditanam di kawasan lapang di kebun sawit untuk dijadikan makanan lembu dan kambing

Selain itu, aspek penyelidikan dan pembangunan untuk mengesan dan mengawal penyakit haiwan serta kecekapan sistem ternakan perlu diberi penekanan.
Pengeluaran hasilan ternakan pada 2019 mengikut komoditi daging lembu dan kerbau adalah 42,804.9 tan metrik, manakala komoditi daging kambing dan biri-biri adalah 4,087.2 tan metrik.

Kadar Sara Diri Daging Negara untuk daging lembu dan kambing masing-masing 22.3 peratus dan 10.1 peratus, manakala penggunaan perkapita hasilan daging lembu dan daging kambing masing-masing 6.1 kilogram (kg) dan 1.1 kg setiap tahun.

Populasi lembu, kerbau, kambing dan biri-biri pada tahun 2019 masing-masing berjumlah 683,501 ekor, 107,347 ekor, 371,747 ekor dan 127,796 ekor, berbanding tahun 2018 676,686 ekor, 106,988 ekor, 359,200 ekor dan 128,298 ekor.

Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding pada tahun 2015 iaitu masing-masing 742,338 ekor, 118,569 ekor, 431,651 ekor dan 147,033 ekor.

Pengeluaran daging ternakan lembu tempatan disumbang oleh tiga aktiviti penternakan iaitu ternakan integrasi, fidlot dan tradisional.

Bagaimanapun, sistem fidlot lebih digemari dan efisien dalam pengeluaran daging negara.
Fidlot menyumbang 54 peratus, integrasi 12 peratus dan tradisional 34 peratus pengeluaran daging lembu tempatan pada 2003.

Disamping sumbangan pengeluaran oleh tiga aktiviti ternakan lembu pedaging integrasi, fidlot dan tradisional, sebahagian kecil pengeluaran daging tempatan juga disumbang oleh ternakan lembu tenusu.

Antara peranan agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar adalah meningkatkan peluang dalam sektor penternakan dengan merancang, menyelaras dan melaksanakan program pembangunan industri penternakan serta makanan bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing.

Untuk memastikan industri penternakan terus maju dan mapan adalah dengan mengawal kos pemakanan.

Hampir 60 hingga 70 peratus kos pengeluaran ternakan bergantung kepada kos penyediaan makanan ternakan, selain memperkasa perkhidmatan VetEC dengan memberi perkhidmatan bagi semua komoditi.

Menjalankan penyelidikan dan pembangunan bersama agensi lain dan pemindahan teknologi kepada pengusaha di kawasan tumpuan sasaran, terutamanya bagi mengurangkan kos pengeluaran ternakan.

Saya sangat dekat dengan industri ternakan ruminan kerana pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar sepenuh masa di Institut Veterinar Kluang.

Di samping itu, saya turut menjalankan tugasan pemantauan projek ternakan integrasi dan memberi perkhidmatan pengembangan veterinar, ambulantori dan kesihatan gerompok bersama kumpulan di Johor, Pahang dan Kelantan sekitar tahun 1992 hingga 1996.

Saya pernah melaksanakan program ternakan lembu Brahman pengganda pada tahun 2005-2007 di Johor.

Masalah pengurusan ternakan lembu akan menjadi lebih kritikal jika jumlah ternakan tidak dikawal dan pergerakan ternakan dalam kawasan perladangan sawit dan getah tidak disusun rapi.

Pemeliharaan ternakan secara integrasi dengan perladangan dapat mengurangkan kos penggunaan baja dan penjimatan kos merumpai.

Sektor ternakan boleh menyumbang kepada 25 peratus hasil pengeluaran ladang jika diurus dengan baik.

DR. SANSUL BAHRI AHMAD ialah Pengarah Makmur Livestocks Sdn. Bhd. yang pernah bertugas sebagai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan tenaga pengajar sepenuh masa Institute

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI