PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini menunjukkkan trend peningkatan sejak dua minggu lalu.
Pegawai Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya Dr. Zainal Abidin Abu Bakar berkata, analisa perbandingan kes positif mingguan menunjukkan terdapat peningkatan bagi kes baharu yang didaftarkan.
Beliau berkata, bagi minggu epid (ME) ke-44 (31 Oktober hingga 6 November lalu, sebanyak 252 kes positif didaftarkan berbanding 198 kes (ME ke-43) dan 163 kes (ME ke-44).
“Graf perbandingan kes positif mingguan juga menunjukkan terdapat peningkatan kes selama dua minggu berturut-turut yang melibatkan warga Putrajaya.
“Peta pergerakan 14 hari taburan kes pula menunjukkan pada ME-44 terdapat tiga lokaliti zon merah, lima lokaliti zon jingga, empat lokaliti zon kuning dan lapan lokaliti zon hijau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, analisa kes positif berdasarkan faktor risiko jangkitan pada ME ke-44 mendapati majoriti kes positif membabitkan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu sebanyak 67.8 peratus (171 kes) manakala selebihnya adalah jangkitan sporadik (32.1 peratus). -K! ONLINE