fbpx

Gadis jelita Papua disangka ‘Minah Salleh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Herolena mengakui dia sebenarnya merupakan penghidap albino. - Herolena Beroperay

JAKARTA – Seorang gadis dari wilayah Papua, Indonesia menjadi sensasi internet kerana memiliki paras rupa seperti wanita Barat sehingga mendapat julukan sebagai ‘Barbie Papua’, lapor portal Wolipop hari ini.

Herolena Beroperay, 21, berkata, dia sering disalah anggap sebagai gadis warganegara asing di negaranya atau mempunyai darah kacukan Barat, namun hakikatnya, dia berdarah asli Papua serta menghidap albino.

“Keluarga saya berasal dari Serui, bapa saya adalah daripada suku kaum Poombawo dan ibu saya daripada suku 3W (Wondau, Wondei, Wonawa). 

“Kami sekeluarga menetap di wilayah Papua, daerah Kepulauan Yapen. Saya ialah gadis asli Papua dan tidak mempunyai darah kacukan kerana ibu bapa saya juga berasal dari Papua,” katanya.

Sementara itu, Herolena turut mengakui bahawa keadaan fizikalnya yang berambut perang dan berkulit putih adalah disebabkan oleh keadaannya yang merupakan seorang penghidap albino.

“Ya, saya ialah seorang albino kerana beberapa ciri fizikalnya ada pada saya. Namun, keadaan ini tidak mematahkan semangat saya, bahkan saya semakin mempercayai diri sendiri dan mengasah segala potensi yang ada dalam diri,” ujarnya.

Selain menghadiri kuliah, Herolena kini turut menjalankan perniagaan online untuk mengisi waktu lapang selain mengikuti kelas peragaan.

Dia turut menerima banyak tawaran untuk menjadi model selain pernah bergelar juara dalam pertandingan Pencarian Model Indonesia di peringkat daerah hingga wilayah. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI