SHAH ALAM – Tindakan seorang pengurus syarikat keselamatan mengaut untung dengan meminta rasuah ‘wang perlindungan’ hampir RM1juta daripada pemilik kilang air batu memakan diri apabila direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Wang berkenaan kononnya bagi ‘menutup kesalahan’ kilang berkenaan daripada tindakan penguatkuasaan berikutan terdapat pekerja warga asing di kilang tersebut meninggal dunia akibat Covid-19.
Perintah reman bermula hari ini terhadap suspek berusia 50 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dalam prosiding tersebut, suspek diwakili Peguam M. Kavimani.
Satu sumber memberitahu, suspek terdahulu ditahan pukul 5 petang semalam di sebuah lokasi di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, suspek dikatakan telah bekerja selama 10 tahun dengan syarikat tempat suspek bekerja menjaga kawalan keselamatan kilang tersebut.
“Bagaimanapun, suspek menerima wang berjumlah kira-kira RM840,000 secara tunai dan pindahan dalam talian sejak Julai hingga September lalu.
“Rasuah itu sebagai balasan kepada suspek kononnya akan meminta agensi-agensi penguat kuasa terlibat agar tidak mengambil tindakan terhadap pemilik kilang itu kerana terdapat pekerja warga asing di kilang tersebut meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas sumber, suspek juga telah meminta wang tambahan lagi sebanyak RM120,000 daripada pemilik kilang yang kononnya akan diberikan kepada penguat kuasa disebabkan kilang itu menggajikan pekerja tanpa permit.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. -K!ONLINE