PETALING JAYA – Sesuai dengan reputasinya sebagai destinasi kecantikan, Guardian Malaysia sekali lagi menganjurkan ekstravaganza Beauty Around The World (BATW) yang menampilkan trend terkini daripada 60 jenama terkemuka global termasuk di Malaysia, Jepun, Korea, Indonesia, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, dan Taiwan.
Lebih 7,000 produk akan ditawarkan dalam kempen yang berlangsung selama sebulan sehingga 23 November ini, dengan berfokuskan tema seperti Timur bertemu Barat, solekan harian semula jadi orang Jepun, Seri bak embunan Korea serta Serlahkan Kecantikan dan Kedamaian.
Ketua Pemasaran Guardian Malaysia dan Brunei, Angela Teo berkata, pihaknya menghargai kepercayaan pelanggan dan sebagai usaha memastikan Guardian membawa jenama global terbaik pada nilai hebat, syarikat mengkaji trend kepenggunaan serta kecantikan yang sedang berkembang di seluruh dunia.
“Sebagai contoh, kami mempunyai jenama dari Jerman yang mewakili teknologi penjagaan kulit terkini dalam mencegah penuaan kulit pramatang dan jenama dari Amerika Syarikat yang menyediakan penyelesaian penjagaan rambut di rumah terbaik.
“Terdapat juga produk penjagaan kulit dengan vitamin C terbaharu dari Perancis, teknologi topeng muka terkini dari jenama topeng muka nombor satu Korea dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain daripada penawaran rangkaian produk yang luas, kempen BATW turut memberikan diskaun sehingga 50 peratus untuk pilihan jenama kecantikan terkemuka dan pelbagai promosi lain.
Turut diadakan pelbagai peraduan dan aktiviti menerusi Facebook Guardian yang memberi pengetahuan kepada pengguna mengenai trend terkini, tutorial kecantikan, petua dan tip kecantikan serta segmen melibatkan tutorial solekan.