YAN – Seorang bapa sempat menegur anaknya agar tidak bermain hujan di atas jambatan sebelum mangsa ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Perupok di sini kelmarin.
Mangsa, Muhammad Hafizan Awaisy, 6, dilaporkan hilang selepas dilihat bermain berhampiran Sungai Perupok bersama kakaknya yang berusia sembilan tahun pada pukul 6.34 petang.
Mayat kanak-kanak itu ditemui di dasar sungai di Kampung Star kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 10.05 pagi semalam.
Menurut bapa mangsa, Awaisy Md. Daud, 34, dia terserempak dengan anaknya itu beberapa minit sebelum kejadian semasa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
“Saya sempat menegurnya supaya tidak bermain hujan atas jambatan kerana air sungai sudah melimpah ke tebing ekoran hujan lebat.
“Bagaimanapun, selepas selesai mandi, saya terkejut apabila penduduk kampung memaklumkan anak saya tiada di lokasi, manakala basikalnya pula masih berada atas jambatan,” kata pemandu lori itu ketika ditemui semalam.
Menurut Awaisy, dia dan isteri, Farahanum Mohd. Sujak, 36, tidak henti berdoa agar anak ketiga daripada lima beradik itu ditemui selamat, namun reda sekiranya sudah tidak bernyawa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji memberitahu, mangsa bermain bersama kakaknya sebelum kakaknya pulang ke rumah nenek terlebih dahulu.
“Ibu mangsa yang menyedari anaknya tidak pulang ke rumah segera mencari sebelum membuat laporan polis.
“Mayat mangsa ditemui penduduk kampung dan dibawa ke Hospital Yan untuk dibedah siasat,” kata beliau.-K! ONLINE