fbpx

Kes di ICU meningkat 2 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan peningkatan dua peratus berbanding minggu epidemiologi (ME) sebelumnya (ME ke-43), biarpun kebanyakan indikator utama menunjukkan trend penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 6 November lalu (ME ke-44), sebanyak 2,501,966 kes kumulatif Covid-19 dilaporkan dengan 65,505 kes aktif dan 29,256 kes kematian.

“Kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan kenaikan 2.0 peratus iaitu 505 kes (ME ke-43) kepada 516 kes (ME ke-44). Kes memerlukan bantuan pernafasan tidak menunjukkan perubahan ketara dan kekal sebanyak 214 kes (ME ke-44).

“Bagi kes baharu Covid-19 pula menunjukkan penurunan sebanyak 13.1 peratus iaitu daripada 40,613 kes (ME ke-43) kepada 35,303 kes (ME ke-44). Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 7.0 peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujarnya lagi, penurunan kes aktif dilihat konsisten sejak sembilan minggu lepas manakala, kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak 27.2 peratus iaitu daripada 522 kes (ME ke-43) kepada 380 kes (ME ke-44).

“Nilai Rt Malaysia juga menunjukkan penurunan harian dari 0.96 (95 peratus CI 0.95 hingga 0.97) kepada 0.91 (95 peratus CI 0.90 hingga 0.92) sejak 1 November. Nilai Rt melebihi 1 menunjukkan potensi berlakunya rantaian penularan jangkitan seperti pada permulaan gelombang ketiga,” katanya.

Berhubung kluster, Dr. Noor Hisham berkata, terdapat kumulatif 5,719 kluster dilaporkan dan hanya 335 kluster masih lagi aktif iaitu penurunan sebanyak 23.5 peratus berbanding ME ke-43.

“Selain itu sehingga 7 November, sejumlah 25,525,035 individu mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19. Setakat 7 November pukul 11.59 malam, 75.2 peratus daripada keseluruhan penduduk telah menerima suntikan vaksin lengkap.

“Ini melibatkan 94.8 peratus daripada populasi dewasa dan 74.9 peratus daripada populasi remaja. Pemberian dos penggalak juga giat dijalankan dengan kumulatif 506,236 dos setakat 7 November di 672 pusat pemberian vaksin yang masih beroperasi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya, kadar pengunaan fasiliti kesihatan didapati semakin menurun selaras dengan peningkatan liputan vaksin dan sehubungan itu, bilangan katil diperuntukkan untuk merawat kes Covid-19 mula diturunkan secara berfasa di kebanyakan negeri bagi memberi perhatian kepada rawatan kes selain Covid-19.

“Di peringkat kebangsaan, bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan kian menurun dari minggu ke minggu di mana kedua-dua kategori pesakit iaitu kategori pesakit satu dan dua serta tiga, empat dan lima didapati semakin menurun.

“Bagaimanapun, mulai ME ke-42 hingga ME ke-44, terdapat empat negeri menunjukkan peningkatan kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima iaitu Kuala Lumpur, Perlis, Terengganu dan Selangor dengan peningkatan sekitar tiga peratus hingga 17 peratus,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI