fbpx

Buntu cari wang dua anak sakit serentak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
noorfizura memakaikan lampin pakai buang kepada Muhammad Edrien Hadi ketika ditemui di rumahnya di Setapak Jaya, Kuala Lumpur baru-baru ini. -AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Seorang wanita reda apabila perlu mem­belanjakan sebahagian besar pendapatannya untuk menampung perbelanjaan anak bongsunya yang disahkan mempunyai masalah buah pinggang hingga terpaksa dibedah sebanyak empat kali.

Noorfizura Zamri, 34, berkata, buah pinggang anaknya, Muhammad Edrien Hadi Muhamad Hadi, 6, dikesan rosak sebelah selepas menjalani imbasan ultra bunyi.

Katanya, terdapat lubang pada bawah perut yang disebabkan oleh pembedahan hingga mengakibatkan sebahagian air kencing sering keluar melaluinya selain perlu bergantung kepada pelbagai jenis ubat.

“Dia juga kencing melalui kemaluan tetapi saya perlu guna dua jenis lampin pakai buang. Jika tidak jaga, dia boleh dapat jangkitan dan keluar nanah pada lubang bekas pembedahan.

“Anak saya juga akan menjalani pembedahan kali kelima pada April tahun depan untuk membetulkan saluran kencingnya,” katanya ketika ditemui di rumah sewa di Flat Desa Rejang, Setapak Jaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, lebih tertekan apabila anak sulungnya, Muhamad Edriel Hadi, 13, mengalami masalah kaki bengkok dan perlu menjalani pembedahan memasukkan besi dari pangkal paha sehingga buku lali untuk membetulkan struktur tulang kaki sebelah kirinya yang pendek sebelah.

Menurut Noorfizura, ia berpunca daripada kejadian Muhamad Edriel terjatuh tangga di sekolahnya ketika berusia lapan tahun.

“Setakat ini Muhamad Edriel masih boleh bertahan dan perlu makan ubat penahan sakit setiap hari. Kini kami sedang tunggu tarikh sesuai untuk membuat pembedahan di hospital,” katanya.

Noorfizura yang sudah berpisah dengan suaminya membe­ritahu, dia berniaga kecil-kecilan untuk menampung hidup empat beranak seperti menjual makanan, pelitup muka, kit ujian kendiri dan alat pengesan oksigen.

“Saya ada dapat bantuan Jaba­tan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM500 sebulan dan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, namun tidak mencukupi. Saya buntu mana hendak cari wang untuk persediaan rawatan anak pada masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, Noorfizura merayu orang ramai supaya membantunya dengan menghulurkan bantuan ke akaun Bank CIMB atas nama Noorfizura 7600276954 atau menghubu­nginya di talian 018-355 8951.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI