PETALING JAYA – Penyanyi rap Yonnyboii mengalami serangan panik gara-gara terlalu gementar selepas selesai membuat pertunjukkan fesyen jenama Neonate di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2021 (KLFW2021) yang di adakan di Pavilion, Kuala Lumpur, semalam.
Ujar Yonny atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, disebabkan terlalu gementar, dia tiba-tiba diserang sesak nafas sehingga terpaksa dibawa ke luar pentas oleh tunangnya, Nik Nazirah untuk ditenangkan.
“Semalam ketika pertunjukkan fesyen saya berasa sangat gementar ditambah dengan penonton yang ramai. Tapi sekarang alhamdulillah, saya sudah okay,” katanya.
Ujar pelantun lagu Aku Itu Aku lagi, dia akan mengalami gejala sama (serangan panik) setiap kali sebelum membuat persembahan pentas dan akan ditenangkan oleh pengurusnya, Nad.
“Tapi semalam saya sendirian. Saya minta maaf kepada rakan media. Saya tidak bermaksud nak tinggalkan acara,” ujarnya.
Ujarnya lagi, selepas mengalami serangan panik, tunangnya membawanya untuk makan bagi mengalas perut di restoran dan terus dihantar pulang ke rumah.
“Saya sebenarnya tidak tahu cara untuk mengatasi masalah ini (serangan panik) kalau dia (tunang) tidak ada. Selepas saya bertenang, dia bawa saya makan sekejap sebelum menghantar saya pulang.
“Sebenarnya situasi panik itu berlaku kerana saya takut apa yang saya buat semalam salah, saya takut orang menilai saya dan risau terbuat silap besar.
“Saya jadi sesak nafas kerana sangat gementar. lagi pula ini kali pertama saya berjalan di pentas peragaan. Saya Jadi tidak yakin dengan diri sendiri sebab nampak orang lain lagi profesional. Memang banyak perkara bermain dalam fikiran saya semalam,” jelasnya.
Bagaimanapun, Yonny mengakui teruja apabila diberikan peluang untuk berjalan di pentas fesyen KLFW untuk memperagakan busana Neonate milik pengacara popular Karl Shafek yang melabuhkan tirainya semalam.
“Saya dihubungi oleh mereka untuk terlibat sama dalam pertunjukan fesyen, memang teruja. Seronok sebenarnya dapat berjalan di pentas KLFW. – K! ONLINE