WASHINGTON – Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) melaporkan sebuah asteroid yang memiliki ukuran hampir tiga kali ganda lebih besar daripada padang bola sepak akan bergerak menghampiri Bumi pada bulan depan, lapor akhbar Daily Star semalam.
Batu angkasa yang diklasifikasikan sebagai ‘’Asteroid Berpotensi Berbahaya (PHA)’’ oleh NASA itu dinamakan ‘4660 Nereus’. Ia berpotensi memusnahkan Bumi sekiranya bertembung, namun laluannya kali ini dilaporkan tidak memberi ancaman kepada manusia.
Pemantau asteroid Nasa meramalkan 4660 Nereus akan mendekati bumi pada 11 Disember ini pada jarak 3.9 juta kilometer (km) atau 10 kali ganda jarak antara Bumi dan Bulan.
Asteroid itu mengelilingi matahari pada setiap 664 hari dan diramalkan tidak akan mendekati Bumi lagi sehingga 2 Mac 2031 atau pada November 2050 dan Februari 2060 akan datang, demikian menurut akhbar Daily Record.
Ditemui pada tahun 1982 oleh Ahli Astronomi, Eleanor F. Helin, asteroid itu dikategorikan dalam kumpulan asteroid Apollo dan turut dikenali kerana melintasi laluan Bumi semasa mengelilingi matahari.
Saintis – saintis telah merancang misi ke asteroid itu, tetapi rancangan mereka gagal pada setiap kali.
NASA turut bercadang menghantar robot penyiasat ‘Robotic Asteroid Shoemaker Rendezvous (NEAR)’ dan Jepun ingin menghantar robot kapal angkasa ‘Hayabusa’ ke Nereus, tetapi mereka akhirnya memilih sasaran lain. – Agensi